KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan Kajian Klinikal Fasa 3 vaksin Covid-19 bermula 21 Januari ini di sembilan hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu berkata, ia akan dikelolakan Pusat Kajian Klinikal masing-masing.
Kajian klinikal yang pertama dilakukan di Malaysia dijangka membabitkan 3,000 sukarelawan dan Malaysia bakal menjadi negara pertama di luar negara China untuk kajian calon vaksin inactivated Covid-19 vaccine buatan Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences, China (IMBCAMS).
“Kesemua keperluan regulatori termasuk kelulusan etika dari Medical Review & Ethics Committee (MREC) dan akhir sekali, Clinical Trial Import License (CTIL) dari NPRA diperolehi pada 8 Januari.
“Selain itu, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) juga meluluskan pendaftaran vaksin Covid-19 yang dihasilkan syarikat farmaseutikal, Pfizer.
“Justeru, Malaysia dijangka akan menerima bekalan vaksin Pfizer untuk fasa pertama pada hujung Februari ini,” katanya dalam Perutusan Khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.
Tambah Muhyiddin, bagi memastikan pengagihan vaksin Covid-19 kepada rakyat berjalan lancar apabila bekalan diperoleh, KKM telah membangunkan Pelan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Bagi mencapai imuniti kelompok, sebanyak 20 hingga 23 juta populasi Malaysia perlu diberikan vaksin Covid-19.
“Buat masa ini, kerajaan telahpun menandatangani perjanjian awal dengan fasiliti Covax, syarikat Pfizer dan AstraZeneca bagi perolehan vaksin Covid-19 untuk mendapatkan jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus liputan populasi,” katanya.
Selain syarikat Pfizer dan AstraZeneca, kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan akan memastikan hanya vaksin yang memenuhi ciri-ciri keselamatan, berkualiti dan berkesan akan didaftarkan dan digunakan di Malaysia.
“Proses penilaian ini dibuat oleh Jawatankuasa Penilaian Produk NPRA untuk kelulusan dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah bagi tujuan pendaftaran sebelum vaksin Covid-19 boleh digunakan di Malaysia.
“Saya ingin mengingatkan seluruh rakyat termasuk diri saya sendiri untuk terus mematuhi semua SOP yang ditetapkan. Ya betul kita akan menerima bekalan vaksin tidak lama lagi tetapi itu bukan satu-satunya langkah pencegahan dan pastinya bukan untuk penyembuhan.
“Pencegahan paling utama adalah dengan diri kita sendiri melakukan amalan mencuci tangan menggunakan sabun dengan kerap, gunakan cecair pembasmi tangan sekiranya tiada punca air yang berdekatan, pakai pelitup muka ketika berada di tempat awam, jaga jarak fizikal dan elakkan dari bersentuhan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette