Home Pendapat MARA Corp perlu diurus oleh golongan profesional

MARA Corp perlu diurus oleh golongan profesional

MAJLIS  Amanah Rakyat (MARA) merupakan sebuah Badan Berkanun yang ditubuhkan pada 1 Mac 1966 oleh Parlimen melalui Akta MARA hasil daripada Ketetapan Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama pada tahun 1965.

Setelah sekian lama wujud, ramai antara kita yang sudah lupa bawahasanya MARA dipertanggungjawabkan di bawah Aktanya untuk melabur, membangun, memfasilitasi dan mendorong aktiviti-aktiviti perindustrian dan komersial untuk mencapai mandat pembangunan sosioekonomi Orang Melayu dan Bumiputera di seluruh pelusuk Persekutuan Malaysia, terutama sekali di kawasan luar bandar. Mandat yang luas ini bermaksud MARA juga akan menjalankan aktiviti tersebut di dalam sektor pertanian dan perternakan.

Masalahnya MARA sejak tiga dekad yang lalu boleh dikatakan telah leka dan lalai dalam hal ini. Sebagai contoh program keusahawan di MARA dengan jelas menyatakan sektor pertanian dan penternakan adalah dikecualikan daripada pembiayaan mereka. Ini amat mengecewakan petani, penternak dan nelayan Melayu dan Bumiputera.

Apabila MARA menubuhkan MARA Corp pada tahun 2016 dan mengumumkan ia akan fokus dalam aktiviti perindustrian dan komersial, telah timbul satu harapan baru yang MARA akan menjalankan tanggungjawab mereka akhirnya. Namun harapan ini gagal dipenuhi malah nyaris punah pada tahun 2019 apabila Majlis MARA ketika itu mengumumkan hendak menutup MARA Corp dan juga menukar mandat asas MARA sendiri.

Nasib baik perancangan ini tidak dilaksanakan. Beberapa bulan kemudian pengurusan baru yang terdiri dari golongan professional dilantik. Ini menghidupkan kembali harapan kami untuk melihat Orang Melayu dan Bumiputera menerajui sektor pertanian dan penternakan negara. Kami yakin masa sudah tiba untuk MARA Corp sebagai syarikat pelaburan induk MARA akan dapat melabur dalam program – program perindustrian dan komersial sektor pertanian dan penternakan berasaskan makanan secara sirius dan menyeluruh.

Jika kita lihat kepada sejarah, ia akan menunjukkan pembangunan pertanian di Malaysia mendapat komitmen yang tinggi oleh kerajaan sejak merdeka. Banyak telah dilakukan untuk mengembangkan dan mempergiat sektor ini melalui beberapa dasar, yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaya dan Rancangan Malaysia setiap lima tahun. MARA juga pada awalnya memainkan peranan yang besar. Namun, pada tahun 1980-an, Malaysia sibuk dalam strategi untuk mencapai “status negara maju” melalui penerapan sektor pembuatan dan mempromosikan perindustrian selain dari pertanian sebagai agenda utama dalam pembangunan ekonomi. Salah satu implikasi dari ini adalah peminggiran sektor pertanian secara mendadak.

Beberapa tahun kebelakangan ini, sektor pertanian mula mendapat semula perhatian di era yang mencabar di mana dunia menghadapi cabaran baru mengenai ketidaktentuan ekonomi, ketidakstabilan politik dunia, dan perubahan iklim. Pandemik COVID 19 meletakkan pukulan terbaru untuk memberi kesedaran kepada kita tentang kepentingan kecukupan tahap sara diri 100% (SSL) dalam penghasilan makanan negara apabila larangan eksport antarabangsa dikenakan dan rantai logistik tempatan dan dunia terputus dalam masa sukar ini.

Umat Islam di Malaysia pula seolah-olah baru tersedar oleh pembongkaran sindiket kartel daging import dan entah berapa banyak lagi skandal makanan yang pernah kita dengar seperti eksploitasi pasaran ikan pasar selayang, lambakan beras import dan ayam tidak sembelih. Umat Islam Malaysia perlu akui bahawa kita cukup lemah dalam hal bekalan dan pasaran bahan makanan halal dalam negara sendiri walaupun majoriti petani, penternak dan nelayan di negara ini adalah umat Melayu – Bumiputera – Islam.

Hal ini sebenarnya tidaklah pelik kerana semua orang tahu dalam sistem rantaian bekalan makanan, pihak yang mengeluarkan makanan duduk paling bawah dalam rantaian bekalan dan bukanlah pihak yang akan menguasai industri.

Hanya dengan memperkasakan petani, penternak dan nelayan untuk meningkat naik dalam tangga rantaian bekalanlah yang dapat meningkatkan perkongsian umat Islam dalam mengawal industri bekalan makanan Negara termasuk bekalan makanan import.

Dalam hal ini, boleh dikatakan FELCRA dan FELDA telah melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menghapuskan kemiskinan dikalangan penduduk luar bandar melalui pembangunan sektor pertanian walaupun diakui masih banyak lagi kekurangan yang perlu diperbaiki kerana mereka terlalu memberi tumpuan kepada hasil tani komoditi seperti kelapa sawit dan getah. Ini tidak banyak membantu menyesaikan kebergantungan kita kepada bekalan makanan halal dari pihak lain dan tidak membantu Orang Melayu dan Bumiputera menerajui setiap rantaian nilai sektor ini. MARA pula telah mengecualikan diri dari sektor pertanian dan penternakan. Mereka sepatutnya menjalankan mandat dan tanggungjawab mereka untuk membangun sosio ekonomi Orang Melayu dan Bumiputera melalui sektor ini.

Pergelutan campurtangan politik yang berlaku di MARA Corp baru-baru ini cukup merugikan dikala situasi genting yang sedang melanda negara sekarang. Masa kita semakin suntuk dan tindakan segera mesti dilaksanakan. Hentikanlah gangguan politik di MARA Corp. Kembalikan tampuk kepimpinan syarikat kepada pasukan pengurusan asalnya yang terdiri daripada golongan professional. Perubahan juga harus dilakukan bermula pada peringkat Lembaga Pengarah.

Buat perubahan ini sebelum segala-galanya terlambat dan kesan ekonomi akibat Covid ini bertambah teruk.
 
Fitri Amir
Penyelidik dan Aktivis Sosio-ekonomi

Setiausaha Agung, IDRIS Association
Koordinator, Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras Negara (Padi Rescue)

1 Komen

  1. Dah kita sendiri alpa. Sampai makanan kita pun kita serah lada bukan muslim uruskan. Ingat dia peduli halal ka haram. Dia pikir untung saja. Kita sendiri cari masalah.
    Pakat2 la sokong produk muslim.

Comments are closed.