Home Ekonomi MPOB jangka hasil eksport minyak sawit cecah RM74 bilion tahun ini

MPOB jangka hasil eksport minyak sawit cecah RM74 bilion tahun ini

Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

KUALA LUMPUR – Hasil eksport daripada minyak sawit dan produk minyak sawit tahun ini dijangka meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada RM74 bilion berbanding RM72.30 bilion yang dicatatkan pada 2020, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Pengarahnya Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dijangka meningkat sebanyak 2.9 peratus kepada 19.70 juta tan metrik daripada 19.14 juta tan metrik tahun lepas manakala stok dijangka melonjak 58.7 peratus kepada dua juta tan metrik berbanding 1.26 juta tan metrik.

“Eksport minyak sawit dijangka meningkat 0.7 peratus kepada 17.50 juta tan metrik daripada 17.37 juta tan metrik. Meskipun berdepan pelbagai halangan di dalam dan luar negara, industri minyak sawit Malaysia berjaya menyesuaikan diri dengan norma baharu.

“Tahun 2021 dijangka membawa prospek lebih cerah bagi industri sawit Malaysia dengan semua petunjuk utama diunjur mencatatkan prestasi lebih baik,” katanya semasa Seminar Kajian Semula dan Tinjauan Ekonomi Minyak Sawit yang dianjurkan secara maya oleh MPOB hari ini.

Beliau berkata bersama-sama dengan Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi dan agensi berkaitan lain, MPOB akan terus bekerjasama rapat dengan pemain industri dalam menghadapi cabaran yang dihadapi industri sawit Malaysia.

Mengenai harga MSM, beliau mengunjurkan tinjauan yang kukuh bagi 2021 pada purata RM3,000 setan metrik.

Sementara itu Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Sathia Varqa berkata dagangan niaga hadapan MSM dijangka dipengaruhi oleh pengeluaran dan stok rendah di negara ini.

“Harga disokong pada RM3,500-RM3,800 setan metrik sehingga pertengahan Februari. Harga dijangka susut kepada RM3,200-RM3,400 setan metrik daripada Mac 2021,” katanya.

Beliau juga mengunjurkan pengeluaran dan eksport sektor tersebut meningkat tetapi ia mungkin terjejas sekiranya kerajaan melaksanakan satu lagi perintah kawalan pergerakan berikutan kes COVID-19 yang tinggi di beberapa negeri.

Beliau menjangkakan prospek permintaan positif terhadap minyak sawit Malaysia pada suku pertama terutamanya dari India dan China – dua pasaran destinasi utama yang ketika ini kekurangan stok. – MalaysiaGazette