KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan dijangka menundakan tarikh pembukaan sekolah sebelum disusuli dengan permulaan sesi persekolahan secara berperingkat.
Walau bagaimanapun, sekiranya Majlis Keselamatan Negara membenarkan kelas untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijalankan, maka peperiksaan tahunan itu akan diadakan mengikut jadual.
Kementerian Pendidikan sebelum ini mengumumkan 20 Januari sebagai tarikh pembukaan sekolah manakala peperiksaan SPM akan diadakan bermula 22 Februari.
Oriental Daily melaporkan, Kementerian Pendidikan sedang meneliti beberapa pendekatan pembukaan sekolah termasuk membenarkan penyambungan persekolahan secara berperingkat, tetapi keputusan terakhir bergantung kepada Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara.
Selepas mengambil kira keadaan semasa, sumber percaya bahawa pembukaan sekolah besar kemungkinan akan ditundakan, sebelum diikuti dengan pembukaan secara berperingkat.
“Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan telah bermesyuarat pada Jumaat lalu untuk melakukan perbincangan terakhir mengenai tarikh permulaan sekolah dan peperiksaan,” kata sumber itu.
Katanya lagi, sekiranya kelas untuk calon SPM dibenarkan, maka peperiksaan itu mungkin tidak akan ditunda sekali lagi, tetapi ia akan dijalankan mengikut jadual, iaitu bermula 22 Februari.
Mengenai Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) pula, sumber menjangkakan dua peperiksaan itu akan dibatalkan, tetapi diganti dengan penilaian oleh sekolah.