SIBU – Perkhidmatan Klinik Pakar Hospital Sibu akan ditangguhkan mulai esok, berikutan keperluan petugas-petugas di klinik tersebut untuk menjaga pesakit di wad COVID-19.
Pengarah hospital itu Dr T. Nanthakumar dalam kenyataan hari ini berkata sehubungan itu, semua pesakit yang mempunyai janji temu dengan klinik pakar itu, untuk membuat janji temu semula.
“Pihak hospital memohon maaf di atas kesulitan yang disebabkan oleh penangguhan kes-kes elektif dan temu janji klinik pakar,” katanya.
Nanthakumar memohon agar masyarakat di Sibu bersabar dan bekerjasama dengan pihak hospital, dalam membendung penularan COVID-19.
Untuk membuat janji temu semula, orang ramai boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian 084-343333 sambungan 1173 atau 6621 atau menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-13317363.
Beliau berkata, bagi bilangan keluarga yang terlibat dalam pengurusan jenazah di rumah mayat Hospital Sibu, ia dihadkan kepada 10 orang sahaja. – MalaysiaGazette