Home Nasional Pesawat padat, penumpang positif Covid-19 ancam keselamatan kru kabin – NUFAM

Pesawat padat, penumpang positif Covid-19 ancam keselamatan kru kabin – NUFAM

nufam
KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) sekali lagi menggesa semua pihak berkuasa mengambil serius penularan Covid-19 susulan ramai penumpang telah didapati positif dengan virus tersebut.
Dalam satu kenyataan di sini, NUFAM mendakwa menerima banyak laporan dan aduan berhubung isu ini sejak kebelakangan ini dan masalah ini amat membimbangkan ramai pekerja kru pesawat.
Sekretariat NUFAM berkata, pihaknya berulang kali memaklumkan kepada pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai risiko tinggi yang melibatkan pekerja kru pesawat apabila penumpang tidak lagi membuat saringan ketat atau sengaja tidak mahu mengambil ujian sebelum jadual penerbangan mereka.
Sejak bulan Disember 2020, kesatuan telah menerima 20 laporan kes melibatkan penumpang positif Covid-19 yang menaiki pesawat.
Apabila mereka didapati positif pula, kru kabin terpaksa dikuarantinkan selama 14 hari.
“Ini amat menyusahkan kru pesawat, yang mana mereka terpaksa dikuarantinkan dan atas sebab ini ramai kru ini telah hilang pendapatan penuh bulanan mereka.
”Apabila ini berlaku tidak ada sesiapa yang hendak menanggung kehilangan pendapatan pekerja ini,” kata NUFAM.
NUFAM mempersoalkan pihak mana yang hendak bertanggung jawab atas apa yang berlaku jika ada dalam kalangan penumpang ini tidak disaring dengan ketat.
Lantaran itu, NUFAM mohon semua pihak termasuk penumpang agar memastikan ujian saringan dilakukan sebelum mahu bercuti.
Ini adalah tanggungjawab para penumpang untuk memastikan mereka sihat dan tidak mempunyai sebarang simptom, yang akhirnya menyusahkan orang lain.
Oleh itu, NUFAM menggesa pihak berkuasa agar jangan ambil sikap lewa memandangkan banyak kes.
“Jangan pula lebih ramai kru pesawat atau penumpang dijangkiti kerana sikap kegagalan pemantaun pihak berkuasa.
”Kami juga berharap syarikat penerbangan tidak ambil sikap mudah atas keselamatan pekerja kerana ia adalah tanggungjawab mereka.
”Jangan sebab perniagaan dan mahu kapal terbang penuh, isu keselamatan kru pesawat pula dilepas pandang,” ujar NUFAM sambil mencadangkan pihak berkuasa turun padang dan melihat sendiri bagaimana sesak dan padat dalam ‘perut’ pesawat.
Katanya, jika di dalam pesawat sudah tidak wujud lagi penjarakan sosial, apakah jaminan yang dapat diberikan dalam memastikan tidak berlaku penularan dalam kalangan penumpang dan kru pesawat. – MalaysiaGazette