Home Nasional PKP 2.0: Gerai, pasar raya, klinik, bank dibenarkan beroperasi

PKP 2.0: Gerai, pasar raya, klinik, bank dibenarkan beroperasi

Keluarga, Noraziah Abdul Manan menonton Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 11 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Berbeza dengan pelaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu, pelaksanaan PKP 2.0 kali ini dilihat lebih longgar dengan kerajaan membenarkan gerai-gerai makan beroperasi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua gerai dibenarkan menjalani perniagaan masing-masing dengan syarat hanya perkhidmatan membungkus dibenarkan.

“Sepanjang pelaksanaan PKP kedai makan dan gerai penjaja dibenarkan beroperasi hanya untuk perkhidmatan take away.

“Manakala bagi kawasan PKP-B dan PKP-P, kedua-duanya dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut SOP yang telah ditetapkan,” katanya dalam perutusan khas Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, hari ini.

Dalam perutusan itu, enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah dikenakan PKP 2.0 dan enam lagi iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dikenakan PKP Bersyarat (PKP-B).

Sementara itu, Perlis dan Sarawak masih kekal dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dalam pada itu, beberapa perkhidmatan lain seperti pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital, farmasi dan bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga.

Tambah Muhyiddin, Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memberikan jaminan bahawa bekalan di semua sektor peruncitan adalah mencukupi.

“Pemantauan terhadap barangan keperluan pengguna seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, hand sanitizer dan pelitup muka akan dilakukan setiap hari,” katanya lagi.

PKP 2.0 akan dilaksanakan bermula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari sehingga 26 Januari selama 14 hari. – MalaysiaGazette