DI saat peningkatan jumlah kes harian Covid-19 yang membimbangkan rekod baharu mencatatkan lebih 3000 kes sehari, ada parti-parti politik yang menggesa supaya Pilihanraya Umum ke 15 dapat diadakan pada suku pertama tahun 2021. Dengan memberikan perbandingan negara-negara yang berjaya mengadakan pilihanraya mereka pada musim pandemik ini, pihak tertentu telah menimbulkan pelbagai respon daripada parti-parti yang memerintah dan juga parti-parti pembangkang.
Sebagai perbandingan, pilihanraya yang diadakan di Singapura pada 10 Julai 2020 dan juga pilihanraya di New Zealand pada 17 Oktober 2020 yang kedua-duanya telah berjaya berlangsung dengan tiada peningkatan kes Covid-19 yang ketara. Jika kita lihat semula, ketika pilihanraya diadakan di Singapura, kes ketika itu adalah terkawal. Jumlah kes yang mendadak naik sebelum pilihan raya tersebut adalah dalam kalangan pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja. Tindakan agresif kerajaan Singapura untuk menjejak, mengasingkan, mengkuarantin serta merawat mereka yang terlibat berjaya mengekang penularan wabak ini di negara tersebut.
Di New Zealand, ‘lockdown’ yang dibuat sebelum pilihan raya dan penangguhan pilihan raya selama 4 minggu ternyata berjaya menghalang penularan. Skala pilihan raya di negara-negara tersebut adalah lebih kecil jika kita hendak bandingkan dengan pilihan raya umum sekiranya diadakan di Malaysia.
Kita lihat pula bagaimana pilhan raya boleh menyebabkan peningkatan kes secara mendadak. Contohnya pilihan raya presiden di Amerika Syarikat. Ketika pilihan raya diadakan, peningkatan yang mendadak dicatatkan. Buat pertama kali dalam sejarah, Amerika Syarikat mencatatkan jumlah kes lebih 100,00 dalam sehari dan selepas hari ketiga, jumlah kes mingkat kepada 130,000. Pada hari ini, jumlah kes harian terbaharu hampir mencecah 300,000 kes sehari. Pilihan raya tersebut juga menyaksikan parti politik yang diketuai presiden pada masa tersebut kalah dan diantara sebab-sebab kekalahan ialah rakyat lihat beliau gagal menangani masalah Covid-19 dengan baik. Beliau sendiri telah dijangkiti Covid-19 dalam tempoh waktu tersebut.
Pilihan raya di negeri Sabah juga telah membuktikan peningkatan kes berlaku, bukan hanya di negeri Sabah tetapi juga kluster-kluster yang terjadi di Semenanjung dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah. Dengan kadar kebolehjangkitan sekarang dengan nilai R0 sebanyak 1.12, kita dijangkakan akan mencatatkan jumlah kes harian sebanyak 3000 kes sehari pada bulan Februari. Dengan nilai R0 1.1 juga, jumlah kes dijangka mencecah 8000 kes sehari pada minggu keempat bulan Mei. Lebih membimbangkankan lagi sekiranya nilai R0 meningkat lebih daripada itu,
tentulah kadar peningkatan kes harian yang lebih tinggi akan dicatat lebih awal!
Bercakap tentang risiko jangkitan Covid-19 dan peningkatan kadar kes harian, kami jangkakan masa yang sesuai untuk pilihan raya dibuat ialah apabila lengkuk epidemik dapat dilandaikan dan nilai R0 kurang daripada 0.5. Cara yang paling berkesan untuk mengurangkan nilai R0 ialah melalui pemberian vaksin. Jadi, waktu yang paling sesuai ialah apabila sekurang-kurangnya 70% rakyat telah mendapat imunisasi supaya imuniti kelompok terhasil. Perlu diingat, kebanyakan vaksin ini memerlukan 2 dos dan juga sela
masa untuk imuniti terhasil.
Jika parti-parti politik merasakan pilihanraya perlu juga dilakukan, apa kata kita sama-sama berusaha keras untuk menurunkan R0 dengan cara mengadakan kempen kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga SOP dan menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat seperti tidak bersalaman, mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka sepanjang masa. Kempen kesedaran tentang vaksin juga perlu
ditingkatkan supaya lebih ramai bersedia untuk menerima vaksin. Lebih banyak, kempen-kempen sebegini dilakukan, insyaAllah lebih mudah kita dapat mengekang penularan wabak Covid-19.
Sekiranya pilihan raya tidak dapat dielakkan atas sebab perlembagaan, ataupun untuk menjamin kestabilan politik negara, mengukuhkan ekonomi negara bagi menarik pelabur-pelabur terutamanya pelabur asing kembali melabur dan memulihkan ekonomi rakyat, garis panduan dan SOP yang ketat perlu dibuat. Pemahaman dan pematuhan kepada garis panduan yang ketat ini adalah mandatori untuk semua, sama ada calon-calon mahupun penyokong-penyokong parti serta rakyat Malaysia. Perhimpunan perlu dielakkan. Pergerakan antara negeri juga perlu dihadkan. Kempen secara elektronik melalui media sosial dan SMS adalah cara yang terbaik untuk mengelakkan pertemuan fizikal. Norma baharu dalam berkempen bagi pilihan raya perlu bersesuaian ketika pandemik ini.
Model pilihan raya di Singapura dan di New Zealand agak berbeza sebenarnya dengan model di Malaysia. Akan tetapi, kami harap agar kerajaan memberikan perhatian yang serius terhadap pilihan raya seperti di Singapura, walaupun menggunakan peti undi, tetapi proses pendaftaran menggunakan sistem atas talian dan waktu pengundian dipanjangkan sehingga 10 malam bagi mengurangkan kesesakan di pusat pengundian.
Sistem kempen mereka juga adalah berbeza mengunakan media elektronik termasuk televisyen dan juga media sosial. Kesimpulannya, pilihan raya wajar ditangguhkan sehingga jumlah kes adalah terkawal, sekurang-kurangnya sehingga selepas imuniti kelompok dapat dicapai. Garis panduan yang baharu serta proses pilihan raya yang selamat adalah perlu bagi menjamin penularan wabak tidak berlaku. Di samping itu,
semua pihak perlu berganding bahu membantu mengurangkan penularan
Covid-19, tanpa mengira fahaman politik.
Oleh: Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani
(Pakar Perubatan Kesihatan Awam)
&
(Pakar Perubatan Kesihatan Awam)
&
Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed
(Pakar Mikrobiologi Klinikal)
(Pakar Mikrobiologi Klinikal)
Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia
Universiti Sains Islam Malaysia