Home Nasional Santhara selesai isu penduduk Batu tak sampai 24 jam

Santhara selesai isu penduduk Batu tak sampai 24 jam

Pegawai Tugas-tugas Khas, Pejabat YB Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, MU Raja melihat kawasan jalan rosak yang telah mendapat aduan daripada penduduk setempat akibat dari tapak projek pembangunan di Batu Muda Mah Sing, Gombak, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 10 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Aduan penduduk Parlimen Batu di sini yang terpaksa berdepan dengan kesusahan akibat projek pembinaan akhirnya diselesaikan dalam masa kurang daripada 24 jam oleh Datuk Seri Dr Santhara Kumar.

Pada mulanya, Timbalan Menteri Wilayah itu telah menerima aduan penduduk mengenai jalan rosak, berlubang, pencemaran debu dan air bertakung akibat projek pembinaan.

Projek terbabit termasuk pembinaan kondominium selain projek pemasangan paip air dengan jajaran lima kilometer.

Kawasan sekitar tapak projek pembinaan yang mendapat aduan penduduk berkaitan jalan rosak di Batu Muda, Gombak. Foto MOHD ADZLAN, 10 JANUARI 2021.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Timbalan Menteri Wilayah, MU Raja berkata, selepas aduan itu sampai ke pengetahuan bosnya semalam dan kesemua yang terlibat diminta bermesyuarat sebelum turun padang dengan serta-merta oleh Santhara.

“Sememangnya Kementerian Wilayah amat prihatin dan komited dengan semua permasalahan terutamanya penduduk setempat, kita akan sedaya upaya menyelesaikan seberapa cepat yang boleh.

“Perkara ini telah kita tinjau, bercakap dengan pemaju dan mereka akhirnya bersetuju untuk selesaikan isu kerana sememangnya ini boleh menyebabkan nyawa penduduk dalam bahaya jika tidak diberikan perhatian dari awal.

“Memang keadaan jalan di sini rosak dan membahayakan pengguna lagi selepas hujan,” ujarnya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu,  Pengawai Penyelaras Parlimen Batu, Gobi Krishnan berkata, pihaknya sudah meninjau permasalahan itu dan sudah menyatakan kepada pihak pemaju serta kontraktor untuk melakukan apa yang sepatutnya dengan kadar segera.

Penyelaras Parlimen Batu, S. Gobi Krishnan ketika meninjau aduan penduduk berkenaan jalan rosak akibat dari tapak projek pembangunan di Batu Muda Gombak. Foto MOHD ADZLAN, 10 JANUARI 2021.

“Antara isu yang dihadapi oleh penduduk setempat sejak akhir-akhir ini termasuklah jalan rosak, anda boleh lihat sendiri bagaimana ianya berlubang dan berlopak. Air bertakung di jalan selain pemendapan jalan.

“Projek ini betul-betul berdekatan dengan jalan raya yang digunakan oleh masyarakat sini, memang sangat berbahaya malah ianya juga sempit.

“Tetapi tidak ada apa-apa papan tanda atau sebagainya malah apabila hujan tempat ini akan menjadi lecak, bayangkan kalau penunggang motorsikal dan sebagainya,” katanya selepas meninjau kawasan itu.

Selain Gobi dan MU Raja, antara lain yang turut hadir meninjau lokasi terjejas itu termasuklah Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk, Gulam Muszaffar dan Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Kejuruteraan DBKL, Ir Azli Shah Ali Bashah.

Kesemua pegawai yang turun padang itu kemudian bertindak mengadakan perbicangan sekitar sejam di lokasi tersebut sebelum pemaju serta kontraktor bersetuju untuk ‘memperbetulkan’ isu tersebut dalam tempoh tiga hari dari sekarang.- MalaysiaGazette