Home SISWA UKM sertai misi bantuan banjir

UKM sertai misi bantuan banjir

KUALA LUMPUR – Skuad Misi Bantuan Kasih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memulakan perjalanan ke lokasi pertamanya ke Kuala Krai Kelantan pada hari ini untuk memberi bantuan kepada 500 buah keluarga yang terjejas akibat banjir di sana.
Bantuan berbentuk wang tunai, barangan keperluan asas seperti beras, gula dan tepung adalah hasil sumbangan dan keprihatinan warga UKM yang terdiri dari staf, pelajar dan alumni.
Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, usaha untuk mengumpul sumbangan bagi misi bantuan itu telah dimulakan sejak 22 Disember 2020 yang lalu dengan jumlah keseluruhannya mencecah hampir RM15,000.
Fasa pertama misi tersebut akan bergerak dengan lima buah kenderaan termasuk sebuah lori dari Prasarana-UKM ke Kelantan dan seterusnya ke negeri Pahang yang merupakan antara negeri paling teruk terjejas dengan bencana banjir pada tahun ini.
Sementara itu, dalam misi yang sama, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UKM melalui Program Kerja Sosial telah menghantar bantuan banjir ke Kota Tinggi, Johor dengan memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk seperti 12,376 unit lampin pakai buang kanak-kanak dan dewasa, 327 susu tepung formula kanak-kanak, 300 susu segar, 648 unit teh uncang, 2,500 pelitup muka dan 50 unit pemanas air elektrik.
Menurut Pengarah Pusat Hal-Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Mohd Suhaimi, Projek Amal Limpahan Kasih FSSK UKM tercetus hasil daripada maklumat dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor berkaitan dengan keperluan segera bantuan barangan untuk mangsa banjir.
Misi bantuan banjir tersebut adalah kolaborasi bersama Institut Onn Jaafar, The Lost Food Project, Syarikat Bigwealthy Global Sdn Bhd dan Persatuan Profesional Islam Anak Johor (GAPHOR) serta Alternative Riders Club yang menjadi sukarelawan bagi membantu penyerahan sumbangan tersebut di Kota Tinggi.
Beliau berkata, tanpa kerjasama erat dengan pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan industri, projek seperti itu tidak akan dapat dijalankan dengan jayanya. – MalaysiaGazette