Home Ekonomi Aktiviti ekonomi negara beroperasi seperti biasa – PM

Aktiviti ekonomi negara beroperasi seperti biasa – PM

Rakyat Malaysia kembali bekerja selepas sektor ekonomi dibuka sepenuhnya. Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Malaysia masih terbuka kepada semua aktiviti perniagaan meskipun berada dalam darurat bagi membendung penularan Covid-19.
Perdana Menteri berkata, semua aktiviti ekonomi akan terus berfungsi tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa.
Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan akan memastikan ekonomi tidak terhenti dengan pelaksanaan darurat kerana rakyat akan terus bekerja.
Malah, aktiviti perniagaan dan perdagangan di industri akan terus beroperasi seperti biasa.
Kerajaan juga komited untuk memastikan amalan-amalan tadbir urus terbaik diamalkan sepanjang tempoh darurat ini.
“Organisasi kawal selia negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa iaitu Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti serta Bursa Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai pemangkin, pengawal selia dan, pemudahcara syarikat dan pasaran,” katanya dalam perutusan khas darurat di sini hari ini.
Pagi ini, Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuat pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19 setelah memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan pegawai tertinggi kerajaan semalam.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes
positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
“Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.
“Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal,” katanya dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette