KUALA LUMPUR – Liga Hoki Malaysia (MHL) yang sepatutnya bermula Khamis ini ditunda ke Julai atau Ogos ini, kata Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Datuk Seri Anil Jeet Singh dalam sidang media hari ini.
“Selepas berbincang dengan ahli jawatankuasa, pengurus pasukan secara maya dan memberitahu presiden (Datuk Seri Subahan Kamal) kita akan tunda MHL ke bulan Julai atau Ogos,” katanya.
Semalam, kerajaan kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu di enam buah negeri bermula esok berikutan jumlah kes Covid-19 yang semakin meningkat.
Sehubungan dengan itu MHC mengambil keputusan untuk menunda MHL yang sepatutnya membuka tirai pada Khamis ini hingga 20 Februari depan sementara saingan wanita pada 20 Januari hingga 20 Februari. – MalaysiaGazette