Home Pendapat PKP 2.0 perlu disertakan dengan bantuan sewajarnya

PKP 2.0 perlu disertakan dengan bantuan sewajarnya

Para pencarum membuat permohonan i-Sinar secara dalam talian ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 DISEMBER 2020.
SAYA mengambil maklum pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri perutusan khas yang dibuat pada petang semalam. Walaupun ianya agak sukar diterima oleh rakyat, tapi sama ada suka atau tidak, saya bersetuju dengan langkah kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 ini.
Saya percaya langkah ini terpaksa diambil bagi memutuskan rangkaian Covid-19 ini dalam konumiti kita, kerana kita pernah hampir berjaya sepenuhnya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan pada bulan Mac 2020 yang lalu.
Jika kita lihat, dalam tempoh 11 hari pertama tahun 2021 ini sahaja, Malaysia telah mencatatkan sebanyak 25,214 kes baharu positif Covid-19 dan hanya merekodkan sebanyak 20,174 kes sembuh. Dan dalam tempoh yang sama juga, Malaysia mencatatkan 84 kes kematian, menjadikan purata hampir 8 kes kematian sehari.
Sudah pasti situasi ini cukup meresahkan ramai pihak terutama barisan hadapan negara. Seperti yang disebutkan oleh YAB Perdana Menteri dalam perutusan khas beliau, jumlah katil wad Covid-19 makin penuh, katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) ada yang telah mencapai kapasiti maksima, dan yang paling membimbangkan barisan hadapan kesihatan semakin tertekan dengan bebanan tugas yang bertambah.
Saya sedar, penerimaan rakyat terhadap pelaksanaan PKP ini adalah berbeza-beza. Ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju. Dan saya juga percaya, tidak mustahil banyak premis perniagaan akan ‘gulung tikar’ apabila kerajaan melaksanakan semula PKP kali kedua.
Namun dalam menguruskan situasi pandemik, sudah tentu kerajaan tiada banyak pilihan. Sama ada bertindak mengurangkan penularan virus dan dalam masa yang sama terpaksa berhadapan dengan kegawatan sektor ekonomi.
Kita telah melihat kesan terhadap ekonomi sewaktu pelaksanaan PKP pada bulan Mac 2020 yang lalu. Ramai rakyat hilang pekerjaan, ramai yang terjejas pendapatan, ada syarikat yang terpaksa gulung tikar, ekonomi tidak berjalan sebaiknya.
Oleh itu, saya amat berharap agar dalam tempoh masa terdekat ini, kerajaan akan mengumumkan pula inisiatif tambahan sebagai bantuan kepada rakyat yang terjejas pendapatan akibat PKP 2.0 ini.
Saya ingin mengulangi semula cadangan yang dibawa oleh saya dan rakan-rakan dari Barisan Nasional sewaktu Belanjawan 2021 yang lalu untuk dipertimbangkan semula oleh pihak kerajaan:
a) Lanjutan Moratorium secara automatik kepada semua untuk tempoh sekurang-kurangnya 3 bulan lagi.
b) Penghapusan syarat pengeluaran I-Sinar KWSP, tiada lagi kategori 1 atau 2, sesiapa yang mempunyai baki wang dalam Akaun 1, akan dibenarkan membuat pengeluaran sebanyak 10%.
Saya mohon agar pihak kerajaan dapat mempertimbangkan dengan sebaik-baiknya 2 perkara ini. Pastinya rakyat di luar sana menaruh harapan yang tinggi kepada kerajaan untuk memberikan bantuan yang sewajarnya bagi meminimakan kesan yang ditanggung mereka akibat daripada pelaksanaan PKP 2.0 ini.
Semoga Malaysia terus diselamatkan dari serangan pandemik dan juga lain-lain bencana buruk seperti banjir dan sebagainya.
Datuk Jalaluddin Alias
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO