KELANA JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membatalkan kem latihan pusat skuad kebangsaan yang sepatutnya bermula Sabtu ini hingga 26 Januari depan bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan semalam.
“Dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri semalam, FAM terpaksa membatalkan latihan pusat yang dijadualkan pada 16 hingga 25 Januari.
“FAM akan mencaturkan semula pergerakan pasukan kebangsaan ke arah perlawanan kelayakan Piala Dunia Mac nanti. Bila percaturan itu sudah lengkap, kami akan umumkan kemudian,” katanya
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata demikian pada sidang media selepas merumuskan hasil Mesyuarat jawatankuasa Eksekutif FAM ke-12 bagi Sesi 2017-2021 di sini hari ini.
Sebelum ini, pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe akan memanggil pemain untuk kem latihan pusat bermula 15 Januari bagi menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Mac depan.
Perlawanan antarabangsa pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan Piala Asia China 2023 itu beberapa kali ditunda berikutan pandemik Covid-19 sebelum tarikh baharu pada Mac depan.
Untuk rekod, Malaysia yang kini menduduki tempat kedua Kumpulan G dengan berbaki tiga perlawanan akan bertandang ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum menyambut Vietnam dan mengakhiri aksi peringkat kumpulan di Thailand.
Skuad Harimau Malaya akan mengadakan siri latihan di negara ini sebelum berkampung di Asia Barat pada Mac untuk mengharungi beberapa siri perlawanan persahabatan seterusnya menghadapi perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Mengulas lanjut, Stuart menjelaskan mesyuarat EXCO FAM turut bersetuju untuk menghantar skuad bawah 19 (B-19) tahun negara ke Sukan SEA Vietnam, hujung tahun ini.
“Skuad B-19 akan menyertai kejohanan Sukan SEA Vietnam 2021 dan juga akan menjadi skuad projek atau pasukan pembangunan kebangsaan ke arah (Sukan SEA) Kemboja 2023.
“Skuad B-19 juga akan dijadikan skuad didikan kepada (kejohanan) AFC B-22 yang akan dilangsungkan tahun ini dan juga kelayakan Olimpik 2024 di Paris,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan pengurus pasukan B-19, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar mengakui pasukannya layak untuk bersaing merebut pingat emas di Sukan SEA Vietnam. – MalaysiaGazette