KELANA JAYA – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak membenarkan pasukan Liga Malaysia (Liga M) menjalani latihan pramusim berkuatkuasa hari ini bagi mematuhi perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula esok sehingga 26 Januari.
Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd. Amin menjelaskan, arahan itu turut membabitkan termasuk liga bawahan seperti Liga M3, Piala Presiden dan Piala Belia perlu mematuhi setiap arahan atau prosedur operasi standard (SOP) seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
“Kalau kita lihat perkara ini (latihan pramusim), kejohanan kita tidak ada, belum lagi (bermula). Dijangka pada 26 Februari (aksi Piala Sumbangsih melibatkan Johor Darul Ta’zim dan Kedah), sebelum Liga Super, Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia bermula selepas itu.
“Tapi kita ikut prosedur yang ditetapkan Kerajaan semalam (kelmarin) tentang proses ini dan kita pun tak ada pertandingan, hanya latihan. Tapi mereka (pasukan) perlu patuh untuk tidak melakukan latihan di seluruh negara, seperti yang dibenarkan mengikut SOP (prosedur operasi standard),” katanya.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata demikian dalam sidang akhbar Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM ke-12 bagi sesi 217-2021 yang berlangsung di Wisma FAM di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam.
Hamidin menambah, pihaknya sudah menyediakan beberapa ‘pelan kecemasan’ jika pandemik Covid-19 terus meningkat dan PKP dilanjutkan.
Jelas beliau, pihaknya telah mempunyai pengalaman menangguhkan liga sebelum ini cuma keadaan berbeza apabila kes Covid-19 ketika ini telah mencecahkan angka ribuan. – MalaysiaGazette