KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) memberi jaminan bahawa sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat akan terus berjalan seperti biasa mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan di kawasan masing-masing.
Presidennya, Adnan Mat yakin konsep bekerja dari rumah (DBR) yang telah diaplikasikan sejak Mac tahun lalu mampu memastikan negara tidak lumpuh walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sesetengah negeri.
Menurut beliau, semua penjawat awam kebanyakannya sudah memahami dan bersedia melaksanakan tugasan berdasarkan konsep BDR ini.
Bagi negeri-negeri yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKPP (Pemulihan), arahan bekerja di pejabat dan BDR adalah tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
”Penjawat awam perlu terus fokus dalam melaksanakan tugas demi membantu rakyat dalam menghadapi waktu sukar ini.
”CUEPACS juga berharap setiap ketua jabatan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dalam mengatur tugas kakitangan masing-masing.
”Setiap arahan haruslah berpandukan garis panduan yang telah ditetapkan agar tidak merisikokan penjawat awam yang bertugas di pejabat atau pun di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Adnan turut meminta orang ramai juga diharap tidak panik dengan situasi semasa pelaksanaan PKP ini dan sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan jika perlu berurusan di pejabat kerajaan.
CUEPACS berharap semua rakyat Malaysia dapat terus bersama dan berdoa agar situasi yang melanda negara ketika ini dapat pulih dengan cepat, ujarnya.
”Semua pihak terus bersama dalam memastikan kejayaan kita mengekang penularan Covid-19 ini dengan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan memberikan kerjasama yang baik kepada petugas barisan hadapan kita yang sentiasa bertungkus lumus menjalankan tugas masing-masing.
“Rakyat yang berada di kawasan PKPP dan PKBB perlulah mematuhi setiap arahan yang dikuatkuasakan agar penularan tidak menjadi lebih teruk,” nasihat beliau. – MalaysiaGazette