PUTRAJAYA – Tiada kontak rapat yang dikesan terhadap individu tempatan berusia 22 tahun yang baru balik dari United Kingdom yang disahkan positif Covid-19 varian baharu UK B1.1.7.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini, pihaknya mendapati ada 13 rakyat Malaysia yang pulang dari United Kingdom (UK).
Kesemua mereka telah dilibatkan dalam ujian saringan Covid-19 untuk dikuarantin.
“Bagaimanapun KKM tak dapat melakukan genome sequencing berikutan nilai ambang (CT value) yang tinggi membabitkan 12 orang rakyat kita yang baru balik dari UK.
“Manakala untuk individu yang dikesan mempunyai mutasi B.1.1.7 pula sudah diasingkan menerusi kuarantin pada hari pertama selepas tiba di negara ini,” katanya pada sidang media hari ini.
Tambah Noor Hisham, ujian saringan Covid-19 pertama yang dilakukan ke atas individu berkenaan mendapati keputusan negatif.
Tetapi katanya, apabila KKM melakukan ujian saringan kedua terhadap individu itu menunjukkan hasil keputusan positif pula.
Menurutnya, untuk individu berkenaan nilai ambang adalah didapati rendah dan KKM berjaya menjalankan genome sequencing.
“Hasil ujian genome sequencing yang dijalankan ke atas individu itu mendapati dia disahkan positif varian B.1.1.7.
“Rentetan daripada keputusan itu, KKM segera melaksanakan ujian itu terhadap sembilan lagi individu rakyat Malaysia yang ada kaitan dari negara lain iaitu Belanda, Singapura, Turki, Filipna dan India yang mempunyai sejarah perjalanan ke UK.
“Hasilnya kesemua mereka mendapati keputusan negatif Covid-19 dan kami juga membuat padanan 14 kluster tempatan dengan mereka yang terkesan dengan mutasi B.1.1.7,” tegasnya.- MalaysiaGazette