KUALA LUMPUR – Polis merampas dadah bernilai RM4,562,956 baru-baru ini setelah menghidu satu sindiket dadah yang didalangi tiga anak muda berusia 20-an.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, jumlah rampasan itu boleh dibekalkan kepada 195,480 penagih dadah.
Jelas beliau, selain rampasan dadah, pihaknya juga berjaya menyita kenderaan bernilai RM93,000 dan wang tunai sebanyak RM160,366 dalam dua tangkapan berasingan di Kepong serta Seri Kembangan.
“Bertindak atas maklumat pada 8 Januari lepas, pasukan Narkotik IPD Sentul telah berjaya menangkap seorang lelaki Cina tempatan berusia 24 tahun Di Jalan Metro Kajang.
“Kita berjaya merampas dadah jenis methamphetamine, pil eramin, pil estacy, wang tunai sebanyak RM400 serta sebuah kenderaan jenis Vios,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Saiful Azly, hasil soal siasat membawa ke pembongkaran lebih besar pada hari seterusnya apabila polis menahan dua lelaki Cina berusia 20 tahun di Seri Kembangan dan rampasan wang tunai berjumlah RM106,166.
Ujarnya, pada hari sama polis turut membuat serbuan ke sebuah rumah di Seri Kembangan dan menjumpai beberapa jenis dadah termasuk serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA), cecair MDMA, 100 batang rokok ganja, ketamin, estasi, eramin, methamphetamine, sebuah kenderaan jenis Estima dan wang tunai RM53,800.
Saiful Azly mendedahkan bahawa ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 177 Kanun Acara Jenayah.
“Kes disiasat bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan, ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya mendapati ketiga-tiga suspek bergiat aktif dalam sindiket ini sejak 2 bulan lepas di sekitar Lembah Klang. – MalaysiaGazette