Home Nasional Sahabat Infaq Malaysia sumbang 1,000 makanan kepada frontliner KKM

Sahabat Infaq Malaysia sumbang 1,000 makanan kepada frontliner KKM

KUALA LUMPUR – Demi menghargai pengorbanan pasukan petugas barisan hadapan (frontliner) dalam mendepani penularan virus Covid-19, Sahabat Infaq Malaysia (SIM), sebuah badan bukan kerajaan (NGO), tampil menghulurkan bantuan kepada golongan ini.

Bertempat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, sejumlah 1,000 paket makanan kering dan sejuk beku disalurkan melalui Program Sumbangan Khas 1,000 Frontliner atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh golongan itu.

Menurut penaung SIM, Datuk Sabiamad Abdul Ahad, pihaknya terpanggil untuk menghulurkan sumbangan melihat kepada pengorbanan tidak putus-putus frontliner sejak penularan Covid-19 dua tahun lalu.

“Saya rasa amat berbangga atas apa yang telah dilakukan oleh rakan-rakan saya di dalam Sahabat Infaq Malaysia.

“Apa yang dilakukan oleh frontliner sungguh memberangsangkan. Segalanya demi rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Hasil sumbangan Sahabat Infaq Malaysia kepada para petugas barisan hadapan KKM.
Hasil sumbangan Sahabat Infaq Malaysia kepada para petugas barisan hadapan KKM.

Antara syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam pengedaran bantuan kepada frontliner di MAEPS adalah syarikat Binsabi Sdn Bhd, Fatihah Frozen Food, produk Noura, KLB Mart, Kraypek, Jaudee, Sate Kebab Akmal, Frutimes dan Fawwaz.

Dalam pada itu, Presiden SIM, Fauzi Mustaffa berkata, NGO itu ditubuhkan dengan tujuan membantu usahawan terutamanya golongan asnaf yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, golongan asnaf seperti ibu tunggal terutamanya memerlukan pembelaan daripada masyarakat.

“Kita nak mengajak semua dan ramai lagi usahawan muslim terutamanya untuk join sahabat infaq ini untuk sama kita bantu dengan lebih berkesan lagi,” katanya.

Sumbangan daripada pelbagai pihak itu disalurkan SIM kepada Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid- 19 Berisiko Rendah (PKRC), Dr. Shahabuddin Ibrahim. – MalaysiaGazette