Home Politik Gerakan minta DAP henti politikkan darurat

Gerakan minta DAP henti politikkan darurat

Datuk Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia meminta DAP untuk berhenti mempolitikkan isu pengisytiharan darurat atas kepentingan peribadi.

Sebaliknya, DAP patut fokus usaha untuk membantu dalam memerangi penularan wabak Covid-19 dan menjaga kebajikan semua rakyat yang terkesan akibat daripada bahana pandemik yang telah berlanjutan hampir setahun ini.

Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, tindakan mempertikaikan titah Yang di-Pertuan Agong oleh Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menunjukkan ketidakhormatan dan ketidaksetiaan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Saya ingin mengingatkan semua pemimpin DAP bahawa semasa Yang di-Pertuan Agong menolak permintaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat pada 26 Oktober 2020 lalu, mereka telah memuji akan kebijaksaan Yang di-Pertuan Agong.

“Mengapa kali ini mereka mempertikaikan keputusan yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong? Ini menunjukkan bahawa DAP hanya mementingkan kepentingan diri mereka sendiri dan tidak pernah mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu Dominic mendesak rakyat agar tidak terpengaruh dengan pembohongan DAP kerana satu Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan darurat dilakukan secara adil dan telus.

Jawatankuasa itu akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan.

Beliau juga berkata, pakar-pakar undang, termasuk bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram telah menyambut baik pengisytiharan darurat baru-baru ini.
Selain itu, Gopal Sri Ram juga menegaskan ia sebenarnya juga boleh dilaksanakan pada tahun lepas semasa kali pertama usul itu dicadangkan.

Dominic mengecam DAP kerana terus menerus memainkan sentimen politik berbaur hasutan untuk mengecam tindakan kerajaan tatkala negara sedang berdepan situasi genting dalam mengawal penularan wabak Covid-19.

”Kelakuan mereka ini sangat tidak semenggah dan perkara sebegini tidak sepatutnya diberikan sebarang perhatian sama sekali,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Persidangan parlimen di era darurat kali ini.

    Tak boleh dinafikan peranan parlimen dlm negara demokrasi spt Msia.

    Namun begitu jika kita imbas kembali peristiwa2 dan cara perbahasan di parlimen kita dimutakir ini, yg penuh dgn jerit pekit, caci mencaci, kata mengata, tuduh menuduh dan sebagainya…..ada kah itu menyuburkan amalan sistem demokrasi berpalimen utk membolehkan suara rakyat disuarakan, didengar dan dibahas bagi faedah rakyat itu sendiri?

    Malah yang paling muak apabila majoriti ahli2 parlimen lebih banyak “berpolitik” dan memihak kpd masalah yg dihadapi individu2 tertentu dari menyuarakan masalah rakyat dan negara.

    Oleh kerana itu, sesuai dengan keadaan sekarang di mana negara menghadapi pelbagai masalah ekoran penularan wabak pendomik coved-19 dan kesan yang tertanggung oleh rakyar khususnya, maka adalah sesuai negara kita diletak dalam undang2 darurat serta persidangan parlimen ditiadakan dalam jangka waktu ini.

    Sekarang adalah masa utk “bekerja” bagi membantu rakyat yg terkesan serta memulihkan ekonomi negara secara bersungguh2.

    Ini dok asyik berpolitik yg tak berkesudahan – apa kebaikannya.

    Jika dibangkitkan implikasi perundangan mengenainya, biar lah mereka yg pakar menyelesaikannya dari menyerahkannya kpd ahli2 politik yang dilihat lebih kpd kepentingan diri semata2.

Comments are closed.