Public Investment Bank Bhd menerusi nota penyelidikannya hari ini, turut menyifatkan vaksin tersebut sebagai pemangkin bagi pemulihan perdagangan global selain membolehkan minat risiko dalam pasaran modal ASEAN kembali ketara.
Menurutnya, risiko penurunan rizab FX tersebut bagaimanapun boleh disebabkan oleh ketidaktentuan rundingan dagangan kedua yang membabitkan Amerika Syarikat (AS)-China.
“Sebarang tempoh ketidaktentuan yang berpanjangan itu berpotensi menjejaskan pasaran ekuiti, ringgit dan seterusnya rizab FX kita,” katanya.
Bank pelaburan itu berkata, kedudukan FX Malaysia masih berdaya tahan dan pada masa ini melebihi piawaian kecukupan antarabangsa, sekali gus memadai untuk menyokong ketahanan negara terhadap kejutan serta impak secara berturut-turut.
Kedudukan kukuh itu juga dapat menyokong kestabilan makroekonomi dan sistem kewangan terutamanya ketika keadaan pasaran modal dan mata wang yang tidak menentu.
“Selain itu, kedudukan rizab mata wang asing kita walaupun dalam persekitaran pandemik COVID-19, adalah melebihi kedudukan sewaktu krisis global 2008-2009 (sekitar RM300 bilion+) dan krisis kewangan Asia 1997-1998 (sekitar RM50 bilion+), yang lebih mencukupi untuk menampung sebarang ketidaktentuan di luar jangkaan.
“Kedudukan hutang luar negara kita yang berjumlah kurang lima peratus daripada jumlah hutang fiskal, turut menunjukkan tahap kedudukan rizab FX Malaysia yang mencukupi,” katanya.
Peningkatan rizab FX dalam suku keempat 2020 itu telah didorong oleh lebihan dagangan yang menggalakkan dan kekal kukuh sehingga kini (setakat 2020: RM163.8 bilion; meningkat 23.1 peratus tahun ke tahun).
Bagaimanapun ini turut diimbangi oleh langkah penjualan asing berterusan dalam pasaran ekuiti walaupun tekanan jualan tersebut telah berkurangan berbanding tempoh setahun lepas (suku keempat 2020: -RM2.2 bilion; suku keempat 2019: -RM3.1 bilion) ketika kemuncak ketegangan perdagangan AS-China. – MalaysiaGazette