
KUALA LUMPUR – Majlis Profesor Negara (MPN) menafikan kenyataan yang tular berkaitan Proklamasi Darurat 2021 oleh kerajaan baru-baru ini.
Presidennya, Prof. Datuk Dr Raduan Che Ros berkata, MPN telah mengadakan mesyuarat melibatkan pakar-pakar perlembagaan, sains politik dan lain-lain untuk meneliti dan memperhalusi perkara-perkara berkaitan Proklamasi Darurat itu.
“Pandangan para profesor adalah pelbagai berdasarkan sudut pandangan dan keilmuan dan kebitaraan masing-masing,” katanya.
Menurut beliau, MPN menerima dan menyanjung titah Yang di-Pertuan Agong perkenan Proklamasi Darurat demi menangani pandamik Covid-19 secara lebih berkesan.
Namun, MPN turut membangkitkan beberapa isu yang mungkin boleh diberikan perhatian khususnya sistem semak dan imbang serta ketelusan dalam pemerintahan negara sepanjang tempoh darurat itu dikuatkuasakan. – MalaysiaGazette