Home Pendapat PKP 2.0: Belajarlah pada kesilapan lalu

PKP 2.0: Belajarlah pada kesilapan lalu

Cuti tahun barisan hadapan tidak dapat dihabiskan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara. Gambar hiasan

Pelbagai reaksi yang dapat kita saksikan berikutan perutusan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam?
Di layar media sosial ‘muka buku’ (Facebook), rata-rata menzahirkan rasa mereka atas
khabar yang tak diduga itu.

Sebagaimana isi perutusan yang disampaikan perdana Menteri itu, Malaysia mula
merekodkan kes harian empat digit bagi COVID-19 pada 24 Oktober 2020 (iaitu sejumlah
1,228 kes.

Bermula penghujung November 2020, fenomena kes harian empat digit bagi COVID-19
direkodkan setiap hari sehinggalah rekod tertinggi yang telah dilaporkan pada 7 Januari
2021, iaitu sebanyak 3,027 kes.

Peningkatan ini, kita nak salahkan siapa? Duduklah sendirian tanya apa yang telah
dilakukan untuk kita membendung agar wabak ini tidak terus menular. Dalam situasi
sebegini, saya fikir tidak perlu menyalahkan orang lain, tetapi lihat kepada diri sendiri.
Sesiapa pun tentunya tidak mahu terkena dengan COVID-19 ini. Pelbagai peringatan lembut dan tindakan tegas telah dikuatkuasakan, namun masih ramai yang tidak mengikutnya.

Ketika kerajaan memberikan kelonggaran untuk bergerak, habis serata tempat dijelajah.
Padahal, kita belum berjaya melawan virus yang melanda dunia ini. Adakah kita prihatin
dengan tragedi yang berlaku ini?

Memang ada sesetengahnya, kerana belum menimpa diri ataupun ahli keluarganya
(nauzubillah), mereka boleh memberi alasan yang pelbagai. Adakah perlu kena dulu baru
nak gelabah dan menuding jari tak tentu arah? Inilah masyarakat kita yang selalu leka
dengan keadaan yang selesa.

Pelbagai persepsi lain dari pihak yang tidak membenarkan situasi ini turut berlegar di
persekitaran. Bukan mudah nak menafikan kepercayaan yang mereka yakini. Dan mereka dengan semudah-mudahnya mengatakan segala perkara ini tidak wujud sebenarnya. Bukan untuk menyalahkan golongan ini, namun paling tidak kenang atau hargailah usaha orang lain untuk mematikan rantaian pandemik ini.

Sebagaimana yang perdana menteri sampaikan semalam, fasiliti Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes
baharu setiap hari. Adakah kita nak terus biarkan angka itu menjadi besar? Peningkatan jumlah pesakit secara mendadak akan melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip mata. Ia tidak lagi mampu untuk menampung jumlah pesakit yang
memerlukan rawatan dan kes-kes kematian akan terus meningkat.

Janganlah kerana lingkungan terdekat masih sifar wabak ini, kita abaikan segala perkara
yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Pada ketika kita nak selamatkan diri  sendiri, bantulah juga orang lain untuk mereka menjaga diri mereka dengan kita mengamalkan SOP (prosedur operasi standard) yang telah ditetapkan.

Pahit getir itu telah dirasakan

Tahun 2020 kita dah lalui cabaran yang getir. Terkurung di rumah sendiri, pergerakan
terbatas, hari perayaan disambut dalam rumah sendiri sahaja, tidak boleh berjemaah di
surau atau masjid, hasil pendapatan terjejas bagi mereka yang bergaji harian dan berniaga, dibuang kerja, tidak dapat bercuti-cuti Malaysia, institusi pendidikan ditutup dan yang paling sadis, tidak dapat menguruskan jenazah ahli keluarga terdekat yang mati akibat COVID-19.

Saya pasti banyak lagi perkara yang boleh disenaraikan untuk tragedi 2020 itu. Pahit dan
sedih untuk dikenang. Akhirnya berulang lagi, PKP untuk tempoh 14 hari bemula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021 di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Membaca komentar luahan seorang pengguna FB, Ahmad menyatakan baginya sesuatu
yang sukar untuk diterima dan dihadapi kerana ia melibatkan pekerjaan dan tanggungan
keluarga. Apabila tidak bekerja, maka pendapatannya berkurangan.

Tidak terkecuali ada yang membalas tegas dan mungkin sinis dirasakan bagi
sesetengahnya, “Kan pernah lalui dulu, rasakanlah sekali lagi”. Moga kali ini kita semua
akan berjaya membendung wabak yang jahat ini, demikian yang tertera pada status FB
Nora.

Sebagaimana kita tahu, negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko
tinggi hasil penilaian risiko oleh KKM dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya
telah hampir mencapai kapasiti maksimum.

Maka, kita teruslah memberikan kerjasama terhadap peraturan yang ditetapkan oleh pihak bekuasa walaupun terdapat antara kita yang tidak yakin dengan situasi yang terjadi ini. Ketahuilah, bencana melanda dunia hari ini adalah kesan perbuatan manusia-manua yang tidak bertanggungjawab, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah asy-Syura ayat 30 yang bermaksud:
“Dan apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana),
maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan yang salah dan
berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa
kamu.”

Hapuskan ‘kasta’

Tidak ketinggalan rakyat menyuarakan rasa berkaitan hukuman yang dikenakan terhadap
mereka yang ingkar dengan arahan yang dikuatkuasakan. Namun, harapan besar rakyat
Malaysia tentunya penguatkuasaan itu bukan terbatas untuk golongan marhaen sahaja
tetapi ‘golongan kayangan’ juga perlu dikenakan tindakan yang lebih tegas lagi.

Aspek ‘kasta’ tidak perlu diwujudkan ketika situasi begini kerana ia jelas menunjukkan pihak kerajaan tidak serius untuk membendung keadaan yang terjadi. Segala ini telah dapat dilihat tahun lalu, apabila menteri mahupun ‘waibi’ kerajaan melakukan kesalahan, namun dilengah-lengahkan atau langsung tidak dikenakan tindakan ke atas mereka.

Sebagaimana poin ke-44 (yang terakhir) dalam isi perutusan perdana menteri semalam
yang berkata:
“Saya beri jaminan bahawa kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk memberi
perlindungan kepada seluruh rakyat. Dan saya juga memohon kepada anda semua untuk
lakukan yang terbaik untuk melindungi diri masing-masing, komuniti dan masyarakat. Hanya dengan bersatu melawan virus ini, kita boleh menang, insya-Allah.”

Dengan kata-kata yang diungkapkan itu, diharapkan pihak kerajaan adil dan tetap
mengamalkan konsep integriti dalam tindakan bagi membendung membendung dan
memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 daripada menjadi lebih parah.

Sampai bila segala ini akan berakhir?

Ayuhlah kita kembali kepada perintah dan larangan Allah sebagaimana yang telah jelas
dinyatakan dalam al-Quran. Di samping usaha kita mengikut SOP, wajar diingat, sebagai seorang Muslim, tetap teruslah memohon DOA kepada Allah Subhanahuwataala (SWT), agar segera mengangkat ujian yang hebat ini, tidak dilupakan kepada saudara-saudara kita yang diuji bencana banjir agar situasi itu segera berakhir.

Doa adalah senjata orang mukmin. Maka, berdoalah kepada Allah SWT dengan sungguh-
sungguh. Nabi Muhammad SAW mengajarkan kepada kita supaya kita sentiasa berdoa
kepada Allah SWT agar terhindar daripada segala penyakit dan wabak.
Antara doa yang boleh kita amalkan ialah:
“Dengan nama Allah SWT yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Ia dibaca sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga subuh.”

“Dan barang siapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).” (Hadis Riwayat Abu Daud [5088])

“Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-
penyakit yang buruk.” (Hadis Riwayat Abu Daud [1554])

Selain itu, antara yang Nabi SAW anjurkan ketika berlakunya wabak dan penyakit berjangkit ini ialah bersabar atas ujian Allah SWT serta tidak keluar dan tidak memasuki sesuatu tempat yang terkena wabak penyakit. Daripada Aisyah RA berkata, sabda Rasulullah SAW:
“Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang masalah taun lalu baginda
memberitahu kepadaku bahawa taun adalah sejenis seksaan yang Allah kirimkan kepada
sesiapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah menjadikan hal itu sebagai rahmat bagi
kaum Muslimin. Tidak ada seorang pun yang menderita jika dia bertahan di tempat
tinggalnya dengan sabar, mengharapkan pahala dan mengetahui bahawa dia tidak terkena musibah melainkan kerana Allah SWT telah mentakdirkan kepadanya, maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang mati syahid.” (Hadis Riwayat Bukhari [3215])

Noktahkan sengketa dalam kalangan pemimpin negara

Pihak kerajaan juga disarankan dengan tegas agar tidak lepas tangan terhadap isu-isu lain yang melanda negara ketika ini.

“Apa khabar kartel daging? Integriti penjawat awam? Salah guna kuasa? Banjir yang
memusnahkan segalanya? Rasuah yang berleluasa? Pembaziran yang nyata? Undang-
undang yang tidak adil? Kelahiran anak luar nikah yang meningkat? Dan banyak lagi.”
Kerana tangan-tangan manusia itu, kemurkaan Allah terjadi. Ia perlu dimuhasabahkan agar tidak berterusan negara ini dilanda tragedi yang tidak diingini. Sebagaimana dalam

Surah ar-Rum ayat 41, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa
yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”Ambillah iktibar daripada ayat ini, wahai penguasa dan sekalian manusia!
Hentikanlah perbalahan yang jelas makin ketara larutnya itu. Di pihak kerajaan mahupun
pembangkang perlulah bersatu mencari jalan penyelesaian yang hikmah bagi kepentingan
rakyat dan negara.

Sudah-sudahlah bercakaran kerana jawatan dan parti apalagi mencetuskan sengketa dan
polemik sesama yang tiada untungnya. Akhirkan segera babak-babak yang tidak penting
buat masa ini agar rakyat dapat menikmati kesejahteraan yang sebenarnya.
Moga hari-hari esok dan seterusnya, kita dapat menyaksikan sinar yang baik dan cerah buat negara serta dunia dalam menangani isu-isu yang melanda.

Atriza Umar
Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia