Home Seni Hidup Sambutan Ponggal Mohana tetap meriah walaupun PKP

Sambutan Ponggal Mohana tetap meriah walaupun PKP

Masyarakat India, Datuk Mohana Muniandy melakukan upacara memasak beras bersama susu lembu sempena Perayaan Ponggal di Puchong, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 14 JANUARI 2021.

PUCHONG – Sememangnya sambutan Ponggal yang jatuh pada bulan Thai di Malaysia tidak asing dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini kerana disambut dengan meriah saban tahun.

Bagaimanapun tahun ini, sambutan Ponggal selama empat hari bermula semalam tidak seperti kebiasaan berikutan penularan pandemik Covid-19 di Malaysia.

Namun Ponggal tetap disambut dalam keadaan sederhana tetapi masih mengekalkan tradisi turun temurun masyarakat India.

MalaysiaGazette mendapat jemputan khas bekas Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy ke rumahnya bagi acara memasak nasi ‘Ponggal’ hari ini di Puchong bersama keluarganya dalam keadaan norma baharu.

Hanya kelihatan ahli keluarga terdekat termasuk suami, ibu bapa serta mertua sahaja menyertai pada kali ini, berbeza sama sekali bagi Mohana yang saban tahun rumahnya dibanjiri sanak saudara serta sahabat handai termasuklah jiran berlainan kaum.

Mohana mahupun suaminya, Sivanesan Subramaniam tidak dapat mengajak semua seperti keselaluan kerana bukan sahaja keadaan Covid-19 sebaliknya garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dipatuhi.

Acara hari ini di rumah Mohana bersama keluarga yang sudah siap memakai pakaian tradisi seperti sari, dhoti dan kurti berwarna warni memasak nasi dengan susu serta gula perang menggunakan periuk tanah liat.

Menariknya, apabila nasi melimpah keluar dari periuk masing-masing akan melaungkan ‘Ponggalo Ponggal’ dengan begitu semangat dan penuh kepercayaan kebaikan akan melimpah ruah kelak.

Limpahan ini menandakan kebaikan dan kemakmuran untuk seluruh keluarga menurut tradisi yang sudah diamalkan sejak turun temurun.

Tahun ini, masa paling bertuah untuk menyediakan nasi manis adalah di antara pukul 9 pagi dan 10.20 pagi, 10.30 pagi dan 11.55 pagi sehingga 1.20 tengah hari.

Ketika sampai tadi, pintu masuk rumah  Mohana dihiasi dengan batang tebu, daun kunyit dan ‘thoranam’ yang dibuat menggunakan lepah pokok kelapa selain hiasan kolam.

Batang tebu menandakan kemanisan yang berterusan, daun kunyit menandakan kesejahteraan dalam keluarga manakala ‘thoranam’ pula tuah yang baik.

Acara memasak nasi manis ini mengambil masa antara setengah jam, sambil menunggu  masak, masing-masing berdoa agar nasi itu melimpah keluar dengan baik.

Ketika memasak nasi Ponggal, susu dimasukkan terlebih dahulu dalam periuk tanah. Hanya selepas susu mendidih dan melimpah keluar, beras dimasukkan oleh kesemua ahli keluarga.

Keluarga Mohana kemudian dengan penuh semangat menjerit Ponggalo Ponggal sebaik susu yang mendidih melimpah daripada periuk tanah, sebagai lambang kemakmuran dan rezeki yang melimpah ruah.

Selalunya selepas memasak, nasi manis ini akan diedarkan kepada keluarga dan juga jiran tetangga, rasanya cukup manis dan sedap.

.

“Ini juga merupakan satu sambutan penuh tradisi yang secara simboliknya memberi maksud cukup mendalam, dengan melaksanakan tradis ini kita percaya kebaikan akan terus menyemarakkan kehidupan harian ini dengan mulanya Tahun Baru ini.

“Sememangnya sejak Covid-19 melanda, kita semua dalam keadaan cukup pandemik, penuh kebimbangan dan semuanya seperti tidak kena, setiap hari kita dihidangkan berita-berita menyedihkan dan merunsingkan,” katanya.

Esok, acara Ponggal akan bersambung lagi dengan ‘Mattu Ponggal’ yang didedikasikan untuk lembu yang dianggap haiwan penting serta suci dalam masyarakat India.

Lembu-lembu ini dimandikan, diletakkan kunyit pada tanduk selain kalungan bunga malai sebelum disembah kerana jasanya kepada golongan petani khasnya.

Ponggal terakhir pula Kanni Ponggal yang bermaksud anak dara, gadis-gadis ini digalakan untuk memasak nasi Ponggal di rumah atau kuil. -MalaysiaGazette

Persiapan Ponggal dalam norma baharu