Home Nasional Bank Rakyat tawar moratorium enam bulan bantu mangsa banjir

Bank Rakyat tawar moratorium enam bulan bantu mangsa banjir

Bank Rakyat di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) menawarkan inisiatif kemudahan moratorium selama enam bulan kepada pelanggannya yang terjejas akibat banjir yang melanda negara sejak akhir tahun lalu.

Pelanggan Bank Rakyat yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan pembayaran pembiayaan mereka akibat terkesan dengan bencana tersebut boleh memohon bantuan moratorium berkenaan bermula 20 Januari ini.

Antara produk Bank Rakyat yang ditawarkan untuk bantuan moratorium tersebut adalah termasuk, Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i dan Pembiayaan Mikro-i.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata inisiatif itu adalah bagi mengurangkan beban kewangan yang ditanggung pelanggannya lebih-lebih lagi mereka yang berdepan dengan kekangan kewangan akibat pandemik COVID-19.

“Semoga inisiatif yang diambil Bank Rakyat ini dapat memberikan impak positif serta membantu meringankan beban yang ditanggung masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelanggan boleh menghubungi Bank Rakyat melalui e-mel [email protected] (sila sertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan dan salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan), Pusat Panggilan di talian 1300800800 dan mengunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat Wilayah berdekatan.

Sebelum ini, Bank Rakyat mengumumkan peruntukan bantuan khas untuk mangsa banjir berjumlah RM500,000 dan bantuan tersebut akan diagihkan menerusi pejabat wilayah dan cawangan Bank Rakyat khususnya di sekitar kawasan terjejas.

–BERNAMA