Home Nasional Dua remaja ditahan miliki senjata merbahaya dalam kereta

Dua remaja ditahan miliki senjata merbahaya dalam kereta

Senjata bahaya antaranya kerambit dan batang kayu menyerupai pedang dirampas dari dua remaja yang ditahan polis peronda cegah jenayah IOD PJ semalam.

PETALING JAYA – Dua remaja lelaki tempatan yang ditahan polis semalam kerana memandu dalam keadaan mencurigakan membawa kepada penemuan senjata merbahaya dalam kereta mereka.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sepasukan polis membuat rondaan pencegahan jenayah bermotosikal di kawasan Damansara terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Pesona yang berhenti di tepi jalan.

“Kereta itu dinaiki dua remaja tempatan dalam keadaan mencurigakan yang berhenti di tepi Jalan Persiaran Tropicana Damansara.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut, pihak polis menjumpai dan merampas senjata merbahaya iaitu satu kerambit berukuran lebih kurang 17 sentimeter, satu replika kerambit berukuran 22 sentimeter dan dua batang kayu menyerupai pedang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, kedua-dua suspek berusia 18 dan 19 tahun dan mereka telah ditahan reman selama dua hari untuk disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara antara lima hingga 10 tahun dan juga sebatan,” katanya. – MalaysiaGazette