Home Nasional Kastam patah cubaan seludup kayu merah, minuman keras

Kastam patah cubaan seludup kayu merah, minuman keras

Rampasan kayu merah bernilai 6.3 juta oleh kastam di pelabuhan klang 12 Januari lalu.

PELABUHAN KLANG – Jabatan Kastam Selangor mematahkan percubaan menyeludup masuk kayu merah atau red sandalwood ke dalam negara menerusi Pelabuhan Utara, di sini pada 12 Januari lalu.

Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, ketika melakukan pemeriksaan di dalam kontena, pihaknya menemui kayu red sandalwood yang diikrar atas nama lain iaitu Others Household and Hand Tools sebagai taktik mengkaburi mata kastam.

“Nilai rampasan kayu merah itu adalah dianggarkan sebanyak RM6.3 juta dengan berat dianggarkan 11 tan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Latif, red sandalwood atau nama saintifiknya pterocarpus santalinus diklasifikasikan sebagai barang dagangan terancam di bawah Bahagian II, Jadual Ketiga Akta 686, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008.

Tambah beliau, pihaknya telah mengenalpasti ejen perkapalan yang bertangunggjawab membawa masuk hasil terancam itu secara haram ke dalam negara.

“Kita kini sedang mengambil tindakan mengesan dan menjejaki ejen berkenaan yang bertanggungjawab untuk membantu siasatan lanjut dalam rampasan barang terancam berkenaan.

“Kes sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu cubaan menggalakkan fraudan duti kastam dan mengelakkan larangan import di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali,” katanya.

Kejayaan Kastam merampas arak tidak bercukai yang cuba diseludup masuk di pelabuhan utara Klang 14 Januari 2021.

Sementara itu, Jabatan Kastam Selangor, menahan sebuah kontena pada 14 Januari lalu kerana cuba menyeludup masuk minuman keras di pelabuhan Utara.

“Hasil pemeriksaan di dalam kontena berjaya menemui jenis minuman keras yang dipercayai belum mendapat kelulusan kastam.

“Nilai rampasan dianggarkan RM108,000 membabitkan kuantiti rampasan sebanyak 21,600 liter manakala jumlah duti atau cukai yang terlibat adalah RM613,440,” katanya.

Abdul Latif memberitahu, ejen perkapalan itu telah dikenalpasti dan kes disiasat dibawah Akta kastam dan Akta Eksais 1976 kerana cubaan megelakkan fraud dan duti kastam dan mengelakkan larangan import bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kdua-dua sekali,” katanya.-MalaysiaGazette