Home Nasional Polis P.Pinang tubuh pasukan khas pantau lorong tikus sempadan negeri

Polis P.Pinang tubuh pasukan khas pantau lorong tikus sempadan negeri

Datuk Sahabudin Abd Manan

BUTTERWORTH – Polis Pulau Pinang meningkatkan pengawasan di setiap laluan alternatif atau lorong tikus yang terdapat di sempadan negeri ini bagi memastikan larangan rentas negeri dipatuhi sepenuhnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Pulau Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, polis mewujudkan pasukan khas yang turut membabitkan anggota tidak berpakaian seragam bagi melakukan pemantauan dan rondaan secara bergilir-gilir di setiap lorong tikus yang dikenal pasti.

“Bagi lorong tikus di sempadan negeri, kami turut menjalankan sekatan jalan raya (SJR) secara bergerak selepas kelonggaran merentas negeri tamat tengah malam ini, tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang cuba berbuat demikian secara tidak sah sepanjang PKP dikuatkuasakan.

“Orang ramai termasuk yang tinggal di kawasan sempadan negeri dinasihatkan agar tidak merentas sempadan dengan cara tidak betul. Sekiranya ada kecemasan dan amat berkeperluan, saya minta mereka mohon surat kebenaran di mana-mana balai polis berdekatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, terdapat sekurang-kurangnya 15 laluan tikus yang dikenal pasti polis di tiga daerah di sempadan negeri ini iaitu di daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Sahabudin berkata, polis juga meningkatkan pemeriksaan di Stesen Keretapi Butterworth di sini bagi memastikan orang ramai turut mematuhi arahan merentas negeri dengan mendapatkan surat kebenaran dari balai polis berdekatan untuk ke negeri lain atau masuk ke Pulau Pinang.

Katanya, berdasarkan pemantauan sejak pelaksanaan PKP, orang ramai terutama pengguna komuter dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mempunyai surat kebenaran untuk merentas negeri.

“Cuma bagi mereka yang bekerja di sini namun tinggal di negeri lain (selain Pulau Pinang), mereka hanya perlu tunjukkan pas kerja dan surat majikan untuk rentas negeri ke tempat kerja dan tidak perlu mendapatkan surat kebenaran daripada polis,” katanya.

Terdahulu Ketua Polis Daerah SPU, ACP Noorzainy Mohd Noor membuat pemeriksaan mengejut di Stesen Keretapi Butterworth di sini bagi memastikan pengguna komuter dan ETS mempunyai surat kebenaran merentas negeri.

Tinjauan Bernama juga mendapati selain polis, pihak Keretapi Tanah Melayu (KTM) bersama polis bantuan KTM turut mengambil tindakan yang sewajarnya iaitu memastikan penumpang mempunyai surat kebenaran untuk merentas negeri sebelum membenarkan mereka membeli tiket bagi merentas negeri. – Bernama