Home Utama 500,000 barisan hadapan sudah siap sedia untuk divaksin – Dr Adham

500,000 barisan hadapan sudah siap sedia untuk divaksin – Dr Adham

Cuti tahun barisan hadapan tidak dapat dihabiskan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara. Gambar hiasan

SERDANG – Seramai 500,000 petugas barisan hadapan sudah bersiap sedia untuk menerima vaksin Covid-19 daripada pengeluar Pfizer-BioNTech.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kesemua penerima itu sudah dimaklumkan mengenai penerimaan vaksin itu.

“Vaksin kedua akan diberikan kepada kumpulan sama selepas 21 hari seperti yang ditetapan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Pemberian dos pertama kepada petugas barisan hadapan adalah fasa pertama dan nama mereka sudah diperolehi dan kita tidak akan berdepan masalah,” katanya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bercakap dalam sidang media selepas sesi lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 16 JANUARI 2021.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat dan memantau persiapan dewan kuarantin keluarga di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 berisiko rendah di Maeps petang tadi.

Tambah beliau, pengambilan vaksin untuk rakyat Malaysia akan diteruskan untuk fasa kedua.

Menurutnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan fasa kedua pemberian vaksin ini.

“Kita sudah menandatangani Perjanjian Bekalan dan Pengilangan dengan syarikat Pfizer di sini dan kita akan menerima bekalannya seperti yang dipersetujui dalam perjanjian tersebut,” katanya.- MalaysiaGazette