KUALA LUMPUR – Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat.
Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Menteri Undang-undang dan Ketua Setiausaha Negeri.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa itu akan memantau isu berkaitan pelaksanaan dan pengurusan darurat, meneliti dan mengkaji isu berbangkit, juga mengesyorkan cadangan penyelesaian.
Melalui hantaran di Facebooknya, Perdana Menteri memaklumkan beliau telah mempengerusikan Sidang Darurat MKN menerusi sidang video bersama-sama bersama menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri pagi tadi, sejak Proklamasi Darurat diisytihar sejak 12 Januari 2021.
Selain itu kata beliau, jawatankuasa ini juga akan dianggotai oleh lapan ahli tetap iaitu Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Peguam Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Pengarah Keselamatan Negara dan Ketua Kluster.
Muhyiddin berharap jawatankuasa itu akan mendapat kerjasama dan sokongan daripada semua peringkat agar pengurusan darurat di seluruh negara dapat dilaksana secara berkesan.
Pada 12 Januari yang lalu Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.- MalaysiaGazette