Home Pendapat Kerajaan perlu tangani pencerobohan hutan, perubahan iklim bagi atasi banjir

Kerajaan perlu tangani pencerobohan hutan, perubahan iklim bagi atasi banjir

Rumah yang terjejas akibat ditenggelami air berikutan banjir teruk yang melibatkan limpahan air Sungai Pahang ketika di Kampung Paya Kechik Ulu, Temerloh. foto MOHD ADZLAN, 09 JANUARI 2021.

KAMI, Jaringan NGO Pelbagai Agama Menangani Isu Perubahan Iklim – Malaysian Climate Change Interfaith Network (MCCIN) yang terdiri dari pertubuhan pelbagai agama seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Friendship Group of Interreligious Services (FGIS) memandang berat isu bencana banjir yang melanda beberapa negeri di dalam negara.

Kami dengan tegas berpendirian bahawa isu bencana banjir yang sering berlaku berulang kali disebabkan beberapa faktor besar yang di mana seluruh pihak harus mengambil tanggungjawab:

1) Perubahan Iklim/Climate Change: Perubahan Iklim menyebabkan berlakunya
‘unpredictable weather’ seperti yang berlaku kini di mana tiada musim yang boleh dijangka berlaku mengikut masa seperti musim tengkujuh. Situasi ini mengakibatkan ketidaktentuan waktu hujan turun dan kadar taburan hujan pada sesuatu masa. Lantas, situasi ini menjadi penyebab berlaku banjir besar apabila kemudahan yang disediakan bagi membendung limpahan air tidak dapat berfungsi. Justeru, pihak berkuasa dan masyarakat harus menitikberatkan isu perubahan iklim yang berlaku ini yang pasti menjadi faktor utama kepada masalah banjir.

2) Aktiviti pembalakan yang berleluasa tanpa kawalan: Aktiviti pembalakan berleluasa
pasti akan mengakibatkan stok air di kawasan hutan simpan di hulu sungai terjejas
mengakibatkan berlakunya banjir lumpur. Aktiviti pembalakan secara ‘land clearing’ atau
‘cuci mangkuk’ untuk juga akan memburukkan keadaan kerana jumlah larian air melebihi
‘infiltration’ (jumlah air yang meresap masuk dalam tanah untuk ‘groundwater recharge’ iaitu ‘takungan simpanan’ kita). Seharusnya aktiviti pembalakan dan sebagainya dikawal
sebaiknya dan dilakukan secara ‘selective logging’ dan ‘land clearing’ bagi memastikan hutan yang berfungsi melindungi stok air dapat dipelihara.

3) Sungai: Sungai yang tidak diselenggara dengan kerap seperti dikorek dalam sesuatu masa untuk memastikan kedalamannya menepati sukatan tertentu serta bebas dari sampah sarap juga menjadi penyebab kepada berlakunya banjir. Justeru, pihak berkuasa harus meningkatkan aktiviti menyelenggara sungai dengan baik, termasuklah memelihara tebing sungai daripada diceroboh.

4) Lembangan sungai: Lembangan sungai seperti kawah takungan banjir di kawasan hilir
yang berfungsi untuk menakung limpahan air harus sentiasa dipelihara. Aktiviti pihak tidak bertanggungjawab yang menjejaskan lembangan sungai harus ditangani dan diambil
tindakan yang tegas oleh pihak berkuasa. Aktiviti memperbanyak kolam tebatan banjir
harus diperbanyakkan oleh pihak berkuasa untuk menampung air yang berlebihan.

5) Aktiviti penanaman semula: Setiap kali penanaman semula di ladang-ladang, ia menjadi penyumbang tambahan kepada larian air permukaan. Maka, berkemungkinan aktiviti penanaman semula harus dikaji untuk dilakukan secara berperingkat. Selain itu, kekurangan pokok di kawasan bandar terutama di kawasan tengah dan hilir sungai juga menyumbang kepada banjir. Maka usaha menanam Dan memelihara pokok di kedua kawasan ini harus di pertingkatkan. Usaha ini boleh melibatkan komunit melalui konsep komunitii urban forest

6) Perumahan: Kita juga harus maklum bahawa pertambahan perumahan akan
mengurangkan lagi kawasan berpokok. Peranan pokok adalah sebagai penyerap air, maka
semakin kurang pokok maka jumlah air akan bertambah. Justeru, pihak kami
mencadangkan agar setiap perumahan baharu diwajibkan pemasangan sistem tuaian air
hujan atau rainwater harvesting system (RWH) dan dikuatkuasakan kewajipannya dan di
kawasan perumahan sedia ada diberi inisiatif untuk memasang sistem tersebut. Sistem
RWH ini juga perlu diluaskan untuk kawasan luar bandar. Sistem ini boleh mengurangkan
jumlah air yang masuk ke sistem peparitan dan sungai.

7) Pendidikan alam sekitar: Masyarakat harus ditekankan pendidikan alam sekitar secara
menyeluruh yang meliputi isu perubahan iklim dan implikasi dari tingkah laku kita yang
tidak beretika seperti membuang sampah di longkang yang menyebabkan berlakunya
banjir. Pendidikan alam sekitar harus dirancang secara sistematik kepada masyarakat.

8) Perancangan bersepadu jangka panjang: Pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri
merentasi semua kementerian, jabatan dan agensi harus duduk bersama untuk
mengemukakan pelan jangka panjang yang lebih holistik dan bersepadu bagi menangani
isu banjir. Ia memandangkan kesan perubahan iklim dan terjejasnya alam sekitar berlaku
akibat dari segenap aktiviti yang berkait dengan pembangunan, pembalakan, etika
masyarakat dan sebagainya. Sudah pasti ia melibatkan penguatkuasaan secara bersepadu
untuk pihak berkuasa tangani sebaik-baiknya.

Kesimpulan daripada pernyataan di atas adalah ia menuntut suatu pelan jangka panjang meliputi rangka kerja bersepadu semua pihak meliputi Kerajaan Persekutuan, Negeri, Kementerian, Jabatan dan Agensi. Kegagalan pihak berkuasa untuk mengemukakan pelan yang lebih bersepadu pasti akan menyebabkan permasalahan banjir berulang kembali dan pasti akan menambahkan beban rakyat setiap kali berlakunya bencana ini.

Selain itu, kerosakan prasarana seperti lebuh raya, jalan, dan kemudahan awam akibat banjir pasti menelan belanja yang amat besar untuk dibaiki yang pasti ia suatu pembaziran terhadap wang hasil titik peluh rakyat.

Kami dengan tegas menggesa isu-isu yang dinyatakan ini, terutamanya perubahan iklim dan penebangan hutan ditangani secara lebih berkesan kerana tanpa penegasan ke atas isu seperti ini, negara kita akan sentiasa berhadapan dengan kesan malapetaka besar sama ada secara langsung atau tak langsung seperti banjir dan penularan wabak Covid-19.

Muhammad Faisal Abdul Azizi
Penyelaras
Malaysian Interfaith Climate Change Network (MICC)
merangkap Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)