Home Politik Kerajaan perlu bentang jangka pendek untuk bantu rakyat – Pemuda PH

Kerajaan perlu bentang jangka pendek untuk bantu rakyat – Pemuda PH

Anggota polis melakukan pemeriksaan kenderaan semasa mengadakan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 2.0 dilaksanakan di LRT Bukit Kinrara 5, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 13 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan wajib membentangkan pelan jangka pendek untuk menyalurkan dana sebagai bantuan susulan pengisytiharan darurat.

Pemuda Pakatan Harapan berkata, pelan jangka pendek ini harus merangkumi bantuan khususnya kepada golongan muda yang terkesan akibat daripada Covid-19.

Sekiranya kerajaannya gagal membawa suatu penyelesaian buat rakyat dalam waktu terdekat ini, Pemuda Pakatan Harapan menyifatkan pengisytiharan darurat hanyalah untuk keuntungan kedudukan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

“Dalam hal ini, kerajaan wajib membentangkan pelan jangka pendek untuk menyalurkan dana, khususnya kepada golongan muda yang terkesan.

”Jika tidak, pengisytiharan darurat ini hanyalah helah untuk menyelamatkan kedudukan politik Muhyidin dan ianya perlu ditolak secara total,” kata mereka.

Kenyataan bersama itu dibuat oleh Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Shazni Munir Mohd Ithnin, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Howard Lee dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir.

Ketiga-tiga mereka berkata, darurat yang diisytiharkan baru-baru ini telah memberi kesan terutama sekali dalam aspek ekonomi rakyat dan negara.

Pasaran saham dan matawang Malaysia jatuh merudum, selain pengangguran dijangka  meningkat.

Lantaran itu, Pemuda Pakatan Harapan berkata, darurat wajar ditolak.

Menurut mereka, tempoh darurat yang bermula 11 Januari sehingga 1 Ogos 2021 menunjukkan kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional mentadbir negara dengan baik.

‘Daripada persepktif matawang, dolar US kepada ringgit Malaysia mencapai paras tertinggi iaitu 4.072, 0.27% lebih tinggi daripada penutupan hari sebelumnya sekitar 4.061.

‘Bahkan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia pula turun sekitar 15.98 mata atau 1.45% berbanding hari sebelumnya dan sekirannya tiada pemulihan yang konsisten ia bakal memberikan kesan buruk kepada ekonomi negara

Selain itu, kadar pengangguran yang kini mencatat sekitar 4.8% juga dijangka terus meningkat.

”Dianggarkan sebahagian besar daripada angka ini terdiri daripada golongan belia. Sebelum Covid-19, pengangguran belia kekal tinggi dengan 35.6 peratus, datang daripada berpendidikan tinggi.

”Pada masa sama, tenaga buruh cenderung kepada golongan pendidikan rendah (70.4 peratus), sebagaimana yang dilaporkan Bank Negara pada 27 Jun 2020.

“Lebih menyedihkan, Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) atau Industri Kecil dan Sederhana (IKS) masih banyak lagi yang belum menerima subsidi upah,” jelas mereka.-MalaysiaGazette