KUALA LUMPUR – Peruntukan sebanyak RM35.43 juta bagi dewan di kawasan Parlimen Pagoh melibatkan pembinaan tiga buah dewan orang ramai, bukan satu seperti yang didakwa.
Projek itu membabitkan pembinaan Dewan Gersik, Tangkak bernilai RM13 juta, Dewan Masyarakat Bukit Pasir, Muar (RM16.66 juta) dan Pusat Komuniti Bukit Kepong, Muar (RM5.77 juta).
Peruntukan pembangunan ini bukan untuk pembinaan sebuah dewan seperti mana yang digembargemburkan oleh sesetengah pihak.
Pembinaan ketiga-tiga dewan ini adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat.
”Dakwaan seperti yang ditularkan adalah berniat jahat dan Pejabat Perdana Menteri merasa kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab ini,” kata Pejabat Perdana Menteri.
Menurutnya, perolehan bagi ketiga-tiga projek pembinaan dewan ini bukan secara rundingan terus tetapi mengikut tatacara perolehan secara tender yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan. – MalaysiaGazette