KUALA LUMPUR – Institut Sukan Negara (ISN) mengesahkan tiga pegawai agensi itu yang terbabit dengan latihan berpusat atlet negara secara kuarantin, diuji positif Covid-19 menerusi ujian RTK Antigen yang dijalankan pada 12 Januari lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, semua kes berkenaan diuruskan segera mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Senarai kontak rapat juga sudah dikenal pasti untuk mereka menjalani ujian saringan Covid-19 dan kini diletakkan di bawah ‘home surveillance order’ (HSO).
“Tindakan susulan yang berkaitan juga sudah dilaksanakan. Antaranya, menjalankan kerja-kerja pembersihan serta sanitasi di Ibu Pejabat ISN, Bukit Jalil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Faedzal berkata, ISN sememangnya bertanggungjawab dalam memantau aspek kesihatan dan prestasi atlet di bawah Program Majlis Sukan Negara (MSN) yang ketika ini menjalani latihan berpusat secara kuarantin dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Katanya, seramai 47 pegawai terdiri daripada pegawai perubatan dan sains sukan sudah pun memulakan perkhidmatan serta memantau perkembangan program latihan atlet dan jurulatih negara.
“Skop tanggungjawab utama pasukan ISN ketika kem latihan berpusat ini turut meliputi pemantauan tahap kesihatan, khidmat rawatan awal, rujukan klinikal perubatan dan pematuhan terhadap amalan penjagaan kesihatan diri terutama dalam pengurusan ‘counter measures COVID-19’.
“Dalam aspek prestasi pula, pasukan sains sukan ISN berperanan dalam memberi khidmat kepakaran sains sukan terutama dalam aspek pemakanan sukan, suaian fizikal, psikologi sukan, fisiologi senam dan biomekanik,” katanya. – MalaysiaGazette