Home Nasional Henti tohmahan guru makan gaji buta – NUTP

Henti tohmahan guru makan gaji buta – NUTP

Aminuddin Awang

KUALA LUMPUR – Masyarakat diminta menghentikan tohmahan kononnya guru kurang bekerja apabila melaksanakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik COVID-19.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang berkata, sejak pelaksanaan PKP fasa awal lepas, warga pendidik sering dilemparkan dengan pelbagai tuduhan seperti makan gaji buta sedangkan mereka sudah cuba melakukan yang terbaik.

Beliau berkata, sepanjang PdPR dilaksanakan, ramai guru sanggup berkorban demi memastikan murid-murid dapat mengikuti sesi pembelajaran, malah apabila kaedah itu dilaksanakan hampir kesemua kos berkaitan ditanggung oleh guru sendiri, terutamanya melibatkan utiliti.

“Ada guru berkorban gunakan wang sendiri untuk melanggan data Internet, malah ada juga guru buat studio sendiri di rumah untuk memastikan sesi pengajaran lebih menarik,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, sesi persekolahan secara bersemuka bermula 20 Januari ini di seluruh negara hanya membabitkan calon yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020.

Semua murid sekolah rendah dan murid tingkatan 1 hingga  5 di sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR  mulai 20 Jan.

Mengakui pembelajaran secara bersemuka lebih memberikan impak dan mencapai objektif jika dibandingkan dengan PdPR, Aminuddin berkata dalam keadaan sekarang, semua pihak harus menerima kenyataan bahawa PdPR adalah satu-satunya pilihan yang ada.

“Kami anggap segala permasalahan sebagai cabaran dan guru-guru akan melakukan yang terbaik dalam ruang lingkup kemampuan dan kesesuaian murid. Dalam hal ini, proses pengajaran dan pembelajaran guru adalah berasaskan keupayaan murid dan kesediaan sumber yang ada,” katanya.

Dalam hal ini, kerjasama ibu bapa amat diperlukan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah dapat berlangsung dengan lebih berkesan, tegasnya.

Sebelum ini, KPM menyediakan manual PdPR meliputi pendekatan secara dalam talian, luar talian dan ‘off-site’, sama ada menggunakan modul pembelajaran atau pembelajaran berasaskan projek, selain sentiasa berusaha memastikan semua murid mendapat akses pembelajaran.

Pada 20 Disember lepas, Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya berkata, sebanyak 2.699 juta sesi PdPR dilaksanakan membabitkan guru dan murid sekolah rendah dan menengah di bawah KPM di seluruh negara bagi tempoh 17 hingga 30 Nov tahun lepas.

Daripada jumlah itu, 64 peratus merupakan PdPR secara dalam talian, 17 peratus luar talian manakala 19 peratus gabungan kedua-dua kaedah tersebut. – Bernama