Home Nasional Mohon masa operasi kedai makan dipanjangkan – Ibrahimshah

Mohon masa operasi kedai makan dipanjangkan – Ibrahimshah

Sesi fotografi bersama Pemilik Hanzaal Spice Garden, Ibrahimshah Syed Mohamad selepas temubual mengenai rayuan kepada kerajaan supaya dapat melanjutkan waktu operasi dari 8 malam kepada 10 malam di Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta memanjangkan waktu operasi kedai yang kini dihadkan sehingga jam 8 malam di kawasan yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pemilik Hanzaal Spice Garden, Ibrahimshah Syed Mohamad berkata, ini kerana pada kebiasaannya orang ramai mula membeli makan malam selepas jam 6 petang.

“Sebenarnya, kita amat berterima kasih dan bersyukur dengan sedikit kelonggaran PKP ini, kami masih dibenarkan berniaga dan masyarakat setempat masih boleh membeli dengan cara ‘walk in’ atau secara atas talian.

“Memang kita cukup maklum dengan keadaan pandemik Covid-19 yang semakin menggila ketika ini, kita semua ada keluarga dan insan tersayang pastinya melihat angka naik mendadak setiap hari sungguh menakutkan.

“Tetapi waktu operasi yang hanya setakat jam 8 malam ini menyebabkan keadaan cukup membebankan kami sebagai peniaga sebenarnya. Waktu jualan naik antara jam 7 malam sehingga 11 atau 12 tengah malam,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Ibrahimshah yang juga pemilik restoran nasi kandar L&S Food Corner, banyak perancangan kedainya yang dibuka sebulan dibuka terbengkalai berikutan pelaksanaan PKP.

“Kami baharu sahaja hendak ‘bernafas’ tiba-tiba sesak kembali, bayangkan kutipan setiap hari kini sudah berkurangan lebih 70 peratus, kita ada pekerja seramai 12 orang.

“Mereka perlukan pekerjaan dan gaji stabil kerana mereka juga ada keluarga serta tanggungan, saya bersama-sama rakan kongsi juga perlu membayar bil sewa bangunan, bil api air serta banyak lagi,” ujarnya sambil menambah keadaan akan lebih teruk jika PKP dilanjutkan selepas ini.

Temubual bersama Pemilik Hanzaal Spice Garden, Ibrahimshah Syed Mohamad mengenai rayuan kepada kerajaan supaya dapat melanjutkan waktu operasi dari 8 malam kepada 10 malam di Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2021.

Ibrahimshah turut merayu kerajaan supaya membenarkan pelanggan makan di restoran dalam masa terdekat dengan penjarakkan sosial dilaksanakan.

“Kasihan juga bila tengok ada orang beli makanan dan duduk tepi jalan dan makan. Jika yang baru balik bekerja dan tidak tahan lapar, sebelum sempat balik rumah mereka makan dulu.

“Jika ada kereta, mereka makan dalam kereta tapi saya tengok dengan mata saya ada yang duduk di kaki lima dan tepi jalan, rumput dan makan dulu. Ini adalah realiti yang sedang dihadapi.

“Ada yang balik malam, bila sampai sudah tidak ada kedai yang dibuka. PKP kali ini bukan lagi bekerja dirumah sahaja sebaliknya banyak sektor telah dibuka. Masalah utama adalah makan di luar,” katanya.

Tinjauan MalaysiaGazette juga mendapati bukan sahaja Hanzaal Spice Garden lenggang tetapi semua kedai berdekatan di kawasan itu.

Kata Ibrahimshah, kebanyakan mereka lebih gemar membeli sebelah petang dan malam. – MalaysiaGazette