Home Sukan Irfan kembali ke Kuala Lumpur

Irfan kembali ke Kuala Lumpur

Irfan Zakaria (kiri).

KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan skuad kebangsaan, Irfan Zakaria kembali ke kampung halamannya apabila diumumkan sebagai pemain tempatan baharu yang menyertai Kuala Lumpur United FC dalam saingan Liga Malaysia musim 2021.

Pemain yang berusia 26 tahun itu beraksi dalam 11 perlawanan Liga Super bersama skuad Kedah pada musim lepas dan beliau juga sempat membantu pasukan itu dalam mengharungi kempen kelayakan AFC Champions League.

Irfan kini hanya memerlukan sembilan perlawanan lagi untuk mencapai 100 penampilan bagi Kuala Lumpur United FC dan menjadi pemain berstatus lagenda bersama kelab tersebut.

“Selepas setahun saya tinggalkan KL, saya kembali ke pasukan lama ini dengan menimba pengalaman dan membuat kawan baru di Kedah. Saya berterima kasih kepada KL kerana mengambil saya kembali. Saya juga bergembira dapat bermain semula di sini.

“Saya melalui satu perjalanan yang sukar sebab di Kedah reputasinya tinggi sebagai pasukan gergasi. Saya berjaya sesuaikan diri dengan suasana dan penyokong di sana dan dapat membina pengalaman,” katanya yang dipetik dalam laman web rasmi KL United. 

Selain Irfan, kapten pasukan, Paulo Josue juga menghampiri 100 penampilan selepas bermain dalam 86 perlawanan untuk Kuala Lumpur sejak 2017.

Irfan telah bermain dalam 48 perlawanan Liga Super bersama Kuala Lumpur dan Kedah. – MalaysiaGazette