KUALA LUMPUR – Malaysia dan Australia masing-masing memberi komitmen terhadap Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA).
Ini termasuk sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan FPDA yang akan dianjurkan oleh Malaysia tahun ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan perkara itu dan menjadi antara topik perbualan antaranya dengan Menteri Pertahanan Australia, Linda Reynolds hari ini.
Kedua-dua menteri itu juga memberi penekanan ke atas kekuatan dan kepentingan hubungan pertahanan dua hala di bawah Program Pertahanan Bersama MalaysiaAustralia (Malaysia-Australia Joint Defence Program).
Selain itu, mereka turut menyentuh mengenai cabaran keselamatan serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Tidak ketinggalan, Ismail Sabri dan Linda turut berkongsi pengalaman Kementerian masing-masing dalam menangani situasi Covid-19.
“Dalam hal ini, YB Menteri Pertahanan telah merakamkan penghargaan kepada Australia di atas sumbangan peralatan kepada Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan membantu meningkatkan kapasiti ATM dalam menghadapi cabaran Covid-19,” kata Kementerian Pertahanan menerusi kenyataan hari ini.-MalaysiaGazette