Home Ekonomi Moratorium Mara hingga akhir Mac 2021, SJPD dinaikkan hingga RM1b

Moratorium Mara hingga akhir Mac 2021, SJPD dinaikkan hingga RM1b

KUALA LUMPUR – Peminjam Mara boleh membuat penjadualan semula bayaran balik kemudahan pinjaman pelajaran Mara atau moratorium pinjaman sehingga 31 Mac 2021.
Sebagai tambahan, usahawan Mara yang terkesan akibat Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bencana banjir boleh membuat Program Penjadualan Semula Pembiayaan Perniagaan Mara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain itu, bagi penyewaan premis perniagaan, Mara telah bersetuju untuk memberi diskaun sebanyak 30 peratus bagi tempoh enam bulan mulai November 2020 hingga April 2021.
”Saya juga menyarankan lebih banyak agensi dan syarikat untuk turut menawarkan penjadualan semula pinjaman dan diskaun sewa premis perniagaan,” kata Perdana Menteri semasa menyampaikan perutusan khas Pakej Bantuan Khas petang tadi.
Bagi mengurangkan bebanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kerajaan telah memberi potongan cukai khas kepada syarikat yang memberi pengurangan sewa premis perniagaan sekurang-kurangnya 30 peratus mulai 1 April 2020 hingga 31 Mac 2021.
Berdasarkan kepada keadaan ekonomi semasa, potongan khas itu akan diperluaskan untuk meliputi pengurangan sewaan yang diberi kepada syarikat bukan PKS.
Menurutnya, tempoh potongan khas itu juga akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021, selain itu, Pembangunan Sumber Manusia Berhad akan mengecualikan levi majikan bagi syarikat yang tidak dapat beroperasi semasa tempoh PKP dan PKPB.
Dalam pada itu, bagi menyokong sektor swasta untuk terus berkembang dan merancakkan ekonomi negara kerajaan menambah baik Skim Jaminan Prihatin Danajamin (SJPD) dengan meningkatkan pembiayaan maksimum dari RM500 juta kepada RM1 bilion, memperluaskan skop pembiayaan kepada perbelanjaan modal dengan tempoh jaminan sehingga 10 tahun dan membenarkan syarikat milik asing yang beroperasi di Malaysia untuk mendapat jaminan SJPD dengan syarat.
Syarat itu melibatkan jumlah pekerja tempatan adalah sekurang-kurangnya 75 peratus.
”Kerajaan berharap agar penambahbaikan SJPD ini akan dapat menjana pertumbuhan sektor swasta dan juga mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan,” katanya. – MalaysiaGazette