Home Sukan Norizam terkejut ‘beruk’ dengan MFL

Norizam terkejut ‘beruk’ dengan MFL

Norizam Tukiman.

KUALA LUMPUR –  Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman terus mempersoalkan kewibawaan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) apabila beliau sekali lagi membangkitkan beberapa isu termasuk bayaran hak penyiaran yang didakwanya belum dilunaskan badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu.

Menerusi kenyataan terbaharu menerusi akaun Facebook miliknya, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham turut mendakwa MFL juga masih belum melunaskan bayaran pengadil.

Start (bermula) saya ambil Kelantan FC dari September tahun lepas, hingga hari ini tiada satu sen bayaran yang sepatutnya Kelantan FC terima hasil kutipan Online MyCujoo, MFL. Email pertanyaan sudah dihantar tetapi belum dapat.

“Alasan dari MFL adalah Covid-19 dan tiada tajaan. Tetapi duit siaran perlawanan dari MYcujoo dibayar tunai oleh semua penonton. Jadi, kenapa bahagian TRW tidak dibayar?

“Terkejut ‘beruk’ aku duit pengadil pun pasukan kena bayar, lepas itu bila claim (tuntut) MFL sudah masuk lima bulan tak dapat. Demand Letter sudah dihantar,” kata Zamsaham.

Beliau dipercayai mengeluarkan kenyataan itu susulan terdapat laporan media bahawa Kelantan FC boleh berdepan hukuman pemotongan mata akibat isu tunggakan gaji, namun laporan itu dinafikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Selain itu, Zamsaham menjelaskan tindakannya membangkitkan beberapa isu bukan kerana mahu meraih populariti, tetapi hanya menuntut hak pasukan.

“MFL hutang Kelantan FC RMxx, belum settle (selesai), tapi MFL minta RM25,000 sebagai yuran penyertaan ke Liga Perdana. Walaupun susah, kami usaha dan kami sudah pun bayar RM25,000 itu.

“Aku bukan gila glamour, aku hanya nak bagi tahu tolong jangan buli Kelantan FC. Hak tetap hak,” katanya. – MalaysiaGazette