Home Pendapat Warga emas dan era digitalisasi

Warga emas dan era digitalisasi

Seorang warga emas membaca ayat suci al-Quran melalui telefon bimbit sementara menunggu waktu solat sunat tarawih bermula ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada malam pertama solat sunat tarawih di Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah, Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 26 MEI 2017.

DATA unjuran World Population Prospects menunjukkan dunia menuju ke arah penuaan penduduk untuk tempoh kurang daripada 30 tahun dari sekarang. Untuk dekad 2050 kelak, di peringkat global, dianggarkan satu daripada enam orang berumur 65 tahun ke atas. Transformasi sosial yang sedang berlaku ini memberi petanda kepada kita untuk bersiap sedia berhadapan dengan perubahan struktur demografi pada masa akan datang.

Fasa peralihan yang berlaku dalam abad ke 21 ini juga membuka ruang kepada peluang dan risiko kepada semua lapisan masyarakat, khususnya kepada golongan warga emas. Impak kepada golongan ini mungkin satu kelebihan kepada kebajikan mereka atau ancaman terhadap kesejahteraan mereka.

Trend penuaan penduduk dikenalpasti bergerak seiring dengan perkembangan era digitalisasi. Era digitalisasi selari dengan revolusi industri 4.0 dilihat memberi kegusaran kepada golongan warga emas untuk berhadapan dengan situasi ini. Dalam konteks kebergantungan tehadap penggunaan teknologi untuk aspek kesihatan, pendidikan, kewangan dan perolehan maklumat, majoriti daripada kita lebih cenderung untuk memanfaatkan teknologi dalam memudahkan urusan harian.

Namun, adakah perkara yang sama turut dirasai golongan warga emas? Adakah golongan warga emas sedar tentang kewujudan sistem digital untuk urusan harian? Perbankan internet, pembelian atas talian dan segala bentuk urusan kebanyakannya kini dibuat secara dalam talian. Adakah mereka bersedia dalam menerima perkembangan teknologi yang berubah begitu pantas?
Bermula daripada evolusi telefon bimbit (cellular) sehingga telefon pintar, penggunaan komputer sehingga perkakasan teknologi berbentuk tablet dan segala macam aplikasi teknologi yang pelbagai fungsi. Evolusi ini indah jika semua lapisan masyarakat mampu memanfaatkannya. Namun, adakah
mereka, golongan warga emas, terdedah dengan kebolehcapaian terhadap kemudahan-kemudahan ini?

Banyak perkara yang perlu dipelajari dan difahami dalam penggunaan teknologi. Kesedaran, penerimaan dan kebolehcapaian mampu memberi cabaran besar kepada golongan warga emas untuk menyesuaikan diri mereka dengan evolusi teknologi. Di samping itu juga, wujud jurang digital dalam kalangan masyarakat, khususnya warga emas.

Antara faktor yang mempengaruhi proses adaptasi warga emas terhadap perubahan ini adalah seperti status sosioekonomi dan karakeristik demografi termasuk lokaliti tempat tinggal dan jaringan kemudahan sedia ada. Faktor-faktor ini memungkinkan penolakan golongan warga emas terhadap penggunaan teknologi dalam kehidupan harian mereka.

Selain itu, bagi golongan warga emas yang bersedia menerima perubahan ini, mereka harus waspada dengan muslihat di sebalik kecantikan dunia teknologi. Mekipun banyak membawa kebaikan sejagat, teknologi mampu membawa bahana kepada sesiapa yang menggunakannya dan mempercayainya secara membuta tuli.

Misalnya penipuan atas talian yang banyak berlaku ke atas golongan warga emas sehinggakan ada di antara mereka yang kerugian beratus ribu ringgit dek penipuan sindiket dalam talian, perolehan maklumat yang tidak tepat sehingga terlalu mempercayai berita palsu berbanding berita sahih.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan perkongsian atau menularkan maklumat palsu sehingga boleh menyebabkan panik dalam kalangan orang ramai. Hal ini secara tidak langsung mampu memberi kesan buruk bukan sahaja kepada golongan warga emas, namun kepada masyarakat umum secara keseluruhannya.

Di samping itu juga, dengan ketersediaan pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Youtube dan sebagainya turut membuka peluang kepada aktiviti negatif seperti
penipuan dalam talian, penggunaan maklumat peribadi tanpa kebenaran dan penularan maklumat tidak tepat untuk terus berleluasa dan akhirnya sukar dibendung.

Pada tahun 2019, sebanyak 28,508 kes penipuan dalam talian dilaporkan yang melibatkan hampir RM2.5 bilion kerugian. Manakala tahun 2020, sepanjang tempoh 18 Mac hingga 4 Ogos 2020, sebanyak 2500 aduan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan penipuan dalam talian untuk e-dagang, diikuti penipuan pinjaman tidak wujud (1582 kes), ‘Macau Scam’ (1001 kes) dan ‘Love Scam’ (481 kes).

Keadaan ini memerlukan orang ramai untuk sentiasa peka dengan keadaan semasa. Selain itu, strategi untuk membendung kes-kes sebegini perlu ditambah baik memandangkan ianya bukan satu
perkara yang mudah kerana si pelaku bukan warga tempatan dan jenayah dilakukan di luar Malaysia.

Tindakan kerajaan Malaysia yang melakukan integrasi kerjasama daripada pelbagai badan penguatkuasa dan institusi berkaitan dalam negara dan di peringkat antarabangsa dilihat berupaya
mengukuhkan operasi membanteras jenayah siber ini. Internet World Stats melaporkan setakat sehingga Mac 2020, sebanyak 22 juta pelanggan Facebook di Malaysia. Jumlah ini cukup besar bagi trafik penyaluran maklumat dalam talian. Dalam konteks pada masa kini, dalam saat kita sedang berdepan dengan krisis kesihatan dan diburukkan lagi dengan kemelesetan ekonomi, pelbagai informasi tidak tepat berleluasa.

Masyarakat lebih percaya kepada berita tular yang tidak tahu hujung pangkalnya berbanding kata-kata daripada pakar dan
profesional atau dari sumber-sumber sahih. Perkara ini cukup membimbangkan. Langkah proaktif kerajaan dalam mewujudkan portal SEBENARNYA.MY sedikit sebanyak memperbaiki kemelut penyebaran maklumat palsu. Di samping itu juga, kewujudan portal rasmi dan media sosial kementerian atau agensi-agensi kerajaan turut membantu proses penyampaian maklumat sahih dibuat dengan lebih sistematik.

Penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas kepada pelaku yang menular maklumat palsu turut menjadi faktor pengawalan yang lebih efektif dalam menangani isu viral maklumat tidak sahih. Peringatan dan amaran yang lebih kerap perlu dilakukan agar masyarakat tahu dan sedar akan isu ini dan memupuk tingkah laku yang lebih positif dalam memanfaatkan penggunaan teknologi dalam kehidupan harian mereka.

Di samping itu juga, kerangka strategi untuk menangani isu salah guna dan tabiat tidak sihat dalam penggunaan ruang siber perlu ditambah baik dengan memastikan strategi-strategi tersebut tidak hanya bersifat inklusif malah sesuai untuk semua lapisan masyarakat, terutama golongan warga emas. Diharapkan dengan pelaksanaan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2020-2024 yang dilancarkan pada tahun 2020 dapat dibuat dengan lebih efektif dan mampu membanteras isu-isu berkaitan keselamatan siber.

Langkah proaktif dalam mempromosikan tatacara positif dalam penggunaan teknologi dan ruang siber menerusi kempen kesedaran dan pendidikan, khususnya kepada golongan warga emas sangat digalakkan. Semoga kemudahan teknologi ini dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat dan setiap individu berhemah dalam menjalankan aktiviti di ruang siber.

Dr Nur Hairani Abd Rahman
Pensyarah Kanan
Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran
Universiti Malaya