Home Dunia Biden, Trump keluar arahan bercanggah larangan pengembaraan

Biden, Trump keluar arahan bercanggah larangan pengembaraan

AS telah melaksanakan sekatan pergerakan bagi bendung penularan Covid-19. foto Agensi
WASHINGTON – Jurucakap Joe Biden memberitahu, Amerika Syarikat (AS) akan mengekalkan larangan perjalanan ke United Kingdom (UK),  sebahagian besar di Kesatuan Eropah (EU) dan dan Brazil – walaupun Presiden Donald Trump membatalkan perintah tersebut.
White House telah memutuskan larangan masuk akan berakhir pada 26 Januari – enam hari selepas Biden memegang jawatan sebagai Presiden AS yang baharu.
Tetapi jurucakap Biden, Jen Psaki dalam ciapannya di Twitter berkata, sekarang bukan waktunya untuk melonggarkan sekatan pergerakan.
Biden akan mengangkat sumpah pada hari Rabu.
AS mengenakan sekatan ke atas warga Eropah pada Mac lalu dan penduduk Brazil pada bulan Mei lalu.
“Atas nasihat pasukan perubatan, pihak pentadbiran tidak bermaksud untuk melonggarkan sekatan ini pada 26 Januari ini,” kata Psaki, sebaik sahaja Trump mengeluarkan perintahnya.
Sebaliknya, kata Psaki, Biden merancang untuk memperkukuhkan langkah-langkah kesihatan awam bagi perjalanan antarabangsa untuk mengurangkan penyebaran Covid-19.
Beliau turut menegaskan dengan “varian yang lebih menular muncul di seluruh dunia, sekarang bukan masanya untuk melonggarkan sekatan perjalanan antarabangsa”.
Beberapa minit sebelumnya, White House telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan Trump telah menandatangani perintah untuk menarik larangan masuk ke UK, Ireland, kawasan Schengen di Eropah yang membenarkan perjalanan melintasi sempadan terbuka dan Brazil mulai 26 Januari.
Bagaimanapun, larangan perjalanan untuk China dan Iran dikekalkan.
Mengikuti arahan Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) minggu lalu, pelancong udara yang tiba di AS mulai 26 Januari perlu memberikan ujian Covid-19 negatif atau bukti pemulihan penyakit Covid-19. – MalaysiaGazettec