KUALA LUMPUR – Satu sindiket jenayah dikenali sebagai Geng Elango Magna yang mempunyai kepakaran mencuri kenderaan menggunakan gunting tumpas selepas ditahan dalam Ops Lejang baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kegiatan dua suspek kumpulan itu biasanya menyasarkan kereta dan lori model lama di sekitar ibu kota.
Sindiket itu bergiat aktif dalam kegiatan mencuri kenderaan di kawasan perumahan dan perindustrian sebelum meleraikannya sendiri dan menjual komponen kepada pelanggannya.
Katanya, kedua-dua suspek itu ditahan pada 13 Januari lalu dan salah seorang suspeknya berusia 35 tahun bernama Elango yang merupakan dalang utama sindiket berasal dari Perumahan Magna, Kepong.
“Hasil tangkapan polis berjaya merampas beberapa buah kenderaan dan barangan iaitu empat buah lori, empat van. tiga buah kereta, dua penjana elekrik yang disyaki dicuri dari sebuah gudang dan 49 unit skrin komputer LED berjenama ACER.
“Anggaran barangan rampasan bernilai RM120,000 dan barang komponen berharga ratusan ringgit ini ditemui dalam sebuah lori yang dilarikan suspek” katanya dalam sidang media hari ini.
Tambah Eng Lai, kenderaan yang dicuri akan diletakkan di tepi jalan di kawasan terpencil sebelum kesemuanya dileraikan dan komponen dijual sebagai alat ganti kenderaan sejak tahun 2019 lagi.
“Yang pelik adalah mereka hanya menyasarkan kenderaan kereta dan lori perdagangan manual model lama memandangkan terdapat permintaan alat ganti dengan harga lumayan.
“Suspek hanya menggunakan gunting untuk menghidupkan enjin dan melarikan kenderaan sebelum rakan sejenayahnya berusia 51 tahun yang juga seorang mekanik berkepakaran membaiki kenderaan akan membantu meleraikan sendiri komponen kenderaan curi tanpa simpan lama.
“Mereka akan mencuri kenderaan selang dua hari dan meleraikan segera sebelum dihidu pihak berkuasa bagaimanapun kali ini mereka sebelum sempat meleraikan kenderaan curi itu kita berjaya menumpaskannya.
“Penangkapan geng berkenaan membantu polis berjaya menyelesaikan 11 kes kecurian kenderaan di kawasan Kepong khususnya dan beberapa kawasan lain di sekitar Lembah Klang,” kata beliau.
Kata Eng Lai, Geng Elanggo Magna memiliki sebanyak 19 rekod jenayah lampau membabitkan samun, bakar kenderaan serta dadah.
Malah salah seorang daripadanya baru sahaja keluar dari penjara selepas menjalani hukuman atas kesalahan mencuri kenderaan manakala rakannya mempunyai 16 rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah dan curi kenderaan.
Kedua-dua mereka telah direman dari 13 Januari lalu dan disambung reman untuk siasatan lanjut kes yang disiasat di bawah Seksyen 379(a) Kanun Keseksaan.
Justeru katanya, sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta menyalurkan dengan menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2222, atau Hotline Kuala Lumpur di talian 02-211 59999 atau mana-mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette