Home Nasional Lelaki samun guru taska antarabangsa ditahan dalam tempoh 8 jam

Lelaki samun guru taska antarabangsa ditahan dalam tempoh 8 jam

KUALA LANGAT – Polis berjaya menyelesaikan kes samun bersenjata membabitkan seorang guru taska di Eco Sunctuary Telok Panglima Garang di sini hari ini.

Kes tersebut diselesaikan dalam tempoh lapan jam susulan penahanan seorang lelaki berusia 26 tahun di Jalan Kebun, Shah Alam pada pukul 4 petang.

Sumber mendedahkan kepada Malaysia Gazette, kejadian berlaku pada pukul 8.20 pagi ketika wanita berusia 51 tahun berjalan dari tempat letak kenderaan menuju ke tempat kerjanya.

Katanya, suspek yang menunggang sebuah motosikal itu mengacukan sebilah parang ke arah mangsa sebelum menarik beg tangannya.

“Suspek merentap beg tangan mangsa menyebabkan dia terjatuh dan mengalami kecederaan ringan pada kepala, lengan serta lutut.

Guru Taska Prasekolah Antarabangsa diragut dalam kejadian pagi ini di Teluk Panglima Garang dan suspek pemuda berusia 25 tahun berjaya ditangkap berdasarkan rakaman CCTV yang diperolehi polis Selangor.

“Hasil siasatan mendapati beg tangan itu mengandungi wang tunai RM20, 10 Dollar Australia, sebuah telefon bimbit jenama iPhone, beberapa dokumen serta kad pengenalan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut sumber itu, bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan polis berjaya mengesan suspek di kawasan tapak pembinaan masjid sebelum melakukan tangkapan.

“Dalam tangkapan itu, kita merampas semula semua barang milik mangsa kecuali RM20. Turut dirampas motosikal dan parang yang digunakan suspek ketika melakukan kegiatan samun itu.

“Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” ujarnya.

Tambahnya, permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi satu minit 34 saat menunjukkan suspek meragut beg tangan mangsa tular di laman sosial Facebook.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed dalam satu kenyataan mengesahkan penahanan suspek tersebut.

“Polis mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang telah membantu dalam menyalurkan maklumat sehingga suspek telah berjaya ditumpaskan dan berharap kerjasama diteruskan di masa akan datang,” katanya.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.