Home Nasional Polis Marin gagalkan cubaan seludup keluar 37 PATI Indonesia

Polis Marin gagalkan cubaan seludup keluar 37 PATI Indonesia

Sebuah bot yang menyorokkan 37 PATI Indonesia untuk dihantar ke negara asal mereka gagal selepas ditahan polis marin di Lautan Sungai Buloh Klang pada Isnin.Ihsan Polis Marin Klang

KUALA LUMPUR – Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan percubaan sebuah bot untuk menyeludup keluar 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Indonesia.

Anggota Polis Marin terpaksa melompat ke dalam bot yang dipecut bagi mengelak ditahan pihak berkuasa itu di perairan Laut Sungai Buloh, di Klang semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, kegiatan itu dikesan sepasukan anggota PPM Pelabuhan Klang kira-kira jam 10.30 malam.

37 PATI Indonesia yang cuba meloloskan diri dengan bot dengan bayaran RM1,000 seorang berjaya ditahan polis marin Klang semalam,-Ihsan Polis Marin

“Bertindak atas maklumat semasa Op Benteng dilaksanakan PPM menggunakan bot ronda Spear dibantu dua bot ronda lain, berjaya menahan sebuah bot disyaki membawa PATI.

“Pasukan serbuan menuju ke lokasi dan telah menahan bot tersebut di kedudukan jarak lebih kurang 1.4 batu nautika dari pantai Sungai Buloh.

“Namun bot berkenaan enggan berhenti dan cuba memecut untuk melarikan diri namun pasukan serbuan bertindak pantas melompat ke dalam bot itu sebelum mengawal bot dan menahan tekong dan krew bot itu yang merupakan warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Rosman, setelah melakukan pemeriksaan lanjut di dalam bot pihaknya mendapati terdapat 37 orang PATI Indonesia terdiri dari 29 lelaki dan tujuh wanita serta seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun.

Bot bersama 37 PATI yang ditahan polis Marin Klang semalam. Ihsan Polis Marin Klang

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati kesemua PATI terbabit dipercayai dalam perjalanan pulang ke negara asal dengan bayaran RM1,000 seorang dikenakan kepada mereka.

“Siasatan awal kami juga mendedahkan tekong itu aktif sejak dua bulan lalu dan ini adalah kali kedua mereka terlibat mengambil PATI.

“Anggota Marin berjaya merampas bot berkenaan bernilai RM30,000 serta tiga telefon bimbit untuk siasatan dan kesemua PATI itu ditahan untuk disiasat di bawah Akta Imigresen.

“Tekong dan dua kru berusia 29 hingga 48 tahun itu pula disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ketika pihak Marin tengah sibuk cekup sebuah bot pati, beberapa bot pati menyeludup masuk mendarat. Kalau tidak, takkan berselerak pati cari makan haram jadah dalam negara, kan?

Comments are closed.