SETIAP kali UMNO dalam krisis, jangan hairanlah jika berlaku darurat atau krisis politik.
Krisis UMNO Mahathir-Razaleigh mencetuskan crackdown ISA – Operasi Lalang, Pemecatan Ketua Hakim negara, pembubaran parti UMNO dan wujudnya Semangat 46.
Krisis UMNO Mahathir-Anwar mencetuskan gerakan reformasi, Ketua Polis Negara dan inisiden mata hitam Anwar; pembentukan Parti Keadilan Nasional(PKN). Maka setiap kali UMNO dalam krisis, maka berertinya negara kita dalam krisis. Adakah UMNO dalam krisis sekarang? Ya.
Bagi darurat pula, ia adalah senjata paling ulung yang dipegang Perdana Menteri atau pemerintah untuk menyelamatkan diri. Darurat 1948 dipanggil atas nama untuk memerangi komunis padahal ia adalah untuk menghancurkan PUTERA-AMCJA –Gabungan Politik paling radikal menuntut kemerdekaan dari Penjajah British. Darurat 1964, diisytiharkan Tunku Abdul Rahman atas nama konfrontasi dengan Indonesia.
Namun penganalisa pada masa itu mengatakan sebab utama adalah untuk melenyapkan blok kiri Parti Buruh dan Parti Rakyat yang memberikan tentangan hebat kepada kuasa barat dalam perang dingin.
Darurat 1969 dipanggil atas nama rusuhan perkauman Mei 13 tetapi alasan sebenarnya adalah UMNO dan Parti Perikatan buat pertama kalinya hilang dua pertiga kerusi, hilang lima negeri dan hilang Kuala Lumpur Ibu negara Malaysia kepada pembangkang. Hari ini Darurat 2021 dipanggil atas nama Covid-19.
Darurat 2021 dan tiga kata kunci
Jika kita meneliti pengumuman darurat oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, walaupun pandemik Covid-19 adalah perkara pokok tetapi tiga kata kunci utama darurat ini adalah adalah:
i. Parlimen tidak bersidang
ii. Pilihanraya tidak boleh diadakan
iii. Sistem kehakiman akan berjalan seperti biasa.
Dengan kata lain, ia berbunyi – anda tidak boleh gulingkan/tukar kerajaan melalui Parlimen atau pilihan raya manakala kes terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pemimpim UMNO lain akan diteruskan.
Jika kita melihat permohonan Muhyiddin sebelum ini menggunakan darurat adalah pada 23hb Oktober 2020, yang mana ia memang berniat bertujuan untuk menangguhkan Parlimen kerana takut kerajaanya boleh digulingkan semasa perbahasan Belanjawan.
Pada masa itu – DYMM YDP Agong terpaksa campur tangan dan berkata beliau tidak membenarkan darurat tetapi membuat seruan untuk Ahli Parlimen untuk menyokong bajet yang amat penting itu. Maka motivasi Muhyiddin dulu dan sekarang untuk meminta darurat adalah atas nama Covid-1p menangguhkan Parlimen dan pilihan raya.
Secara perbandingan, cukup jelas dimata kita bahawa PKP pertama lebih ketat jika dibandingkan dengan darurat yang kita alami sekarang walaupun nama darurat bunyinya lebih mengancam.
Krisis UMNO
Dalam artikel ini, saya menghujah bahawa krisis UMNO adalah pendorong ‘catalyst’ untuk darurat ini. UMNO dalam krisis antara Team Presiden yang perlukan Pilihan Raya Umum untuk selamatkan diri mereka dan team B UMNO Timbalan Presiden dan mereka dalam Kabinet Muhyiddin yang perlukan mahkamah dengan cepat menjatuhkan hukuman terhadap Ahmad Zahid.
Jika Ahmad Zahid dapat dijatuhkan hukuman dahulu, maka ia bererti beliau tidak boleh menjadi calon PRU dan semestinya tidak boleh menjadi Perdana Menteri jika UMNO menang.
Perkara 48(5) Perlembagaan Negara mengatakan jika sekarang didenda lebih 2,000 dan penjara lebih setahun, maka ia tidak boleh menjadi calon pilihanraya walaupun kes dalam peringkat rayuan.
Jika beliau kalah di mahkamah, maka ia membuka peluang besar untuk pesaingnya dalam UMNO untuk ambil alih kuasa kerana dalam UMNO – presiden parti amat berkuasa.
Siapa yang jadi presiden mempunyai kuasa menentukan siapa jadi calon PRU dan siapa tidak jadi calon. Maka jika hendak jadi calon- baik jangan lawan presiden parti.
Jika PRU diadakan sekarang, maka semua bintang dilangit menunjukkan UMNO dengan kerjasama Pas akan kembali memerintah. Maka itulah sebabnya bagi team Zahid, mereka memerlukan pilihan raya sekarang untuk gunakan satu batu untuk gugurkan tiga mangga – habiskan musuh presiden dalam UMNO, ambilalih kuasa Parlimen dan selamatkan diri dari kes mahkamah.
Bagi Pas, mereka semakin jelas dilihat sebagai King Maker, yang mana UMNO dan Bersatu saling cuba memikat dan meminang mereka.
Bagi Muhyiddin dan team yang menentang Zahid dalam UMNO, mereka memerlukan pilihan raya ditangguhkan dan sistem kehakiman terus beroperasi. Misinya cukup jelas. Dua orang adik beradik seorang Speaker Parlimen dan seorang Peguam Negara akan memastikan kerajaan yang ada dan sistem kehakiman memastikan misi parti pemerintah dilaksanakan.
Darurat ini juga berjaya menghentikan UMNO membuat perhimpunan agung tahunan mereka yang dijadualkan pada 30 dan 31 Januari ini. Satu usul utama yang akan diluluskan adalah usul untuk menamatkan kerjasama dengan parti serpihan mereka iaitu Bersatu. Sejarah UMNO menunjukkan mereka tidak ada simpati terhadap parti serpihan baik Semangat 46, Parti keadilan mahupun Bersatu.
Usul Perhimpunan UMNO tersebut sudah diterima di peringkat Majlis Tertinggi namun perlu disahkan di peringkat perhimpunan agung. Ini merupakan satu perancangan yang cukup teratur oleh UMNO Najib-Zahid untuk mengulingkan kerajaan Muhyiddin yang mana mereka sekarang pun sudah berjaya menghilangkan majoriti prti pemerintah.
Tindakan Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) dan Nazri Aziz (Padang Rengas) menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin menyebabkan Kerajaan Muhyiddin Yassin hanya mempunyai majoriti 108 sahaja. Jika kita melihat pengalaman apa yang berlaku di negeri Perak; begitu senang kerajaan Perak dapat digulingkan oleh UMNO, maka mengulingkan kerajaan Muhyiddin bukan sesuatu yang mustahil
UMNO tetap berkuasa
Bagi Anwar Ibrahim dan PH, mereka hanya boleh berkuasa dengan sokongan ahli UMNO namun kuasa yang mereka nikmati hanyalah sekadar sejauh mana ahli UMNO hendak membawa mereka. Situasi Anwar sedih kerana dengan sokongan UMNO situasinya seperti “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak”
Walaupun kita melihat bagaimana pun – ideologi UMNO tetap berpengaruh. Siapa sebenarnya UMNO ? Serpihan yang keluar dari Biro Agama UMNO pada tahun 1951 membentuk Pas, kumpulan yang melawan UMNO pada tahun 1998 – membentuk Parti Keadilan, yang keluar pada tahun 2016 membentuk Bersatu.
Maka walaupun UMNO menang atau kalah dalam PRU, ideologi & DNA UMNO tetap hidup dengan penjelmaan nama dan gabungan baru baik melalui BN, PN atau PH.
Covid-19 dan norma baru politik
Covid-19 mungkin hiasan mengapa darurat ini dipanggil. Namun pandemik Covid-19 adalah benar dari segi ancaman kepada kesihatan dan ekonomi rakyat negara ini. Rakyat akan berdepan dengan PRU pada masa depan dan seharusnya mereka memilih sesuatu kerajaan yang dapat menyelesaikan masalah utama mereka iaitu jaminan kerja, jaminan kesihatan dan jaminan tempat tinggal yang munasabah.
Hari ini apabila Perdana Menteri umumkan pakej PERMAI, saya menantikan pengumuman bahawa gaji Menteri, CEO GLC dan Ahli Parlimen akan dipotong untuk membantu tabung Covid-19, namun pengumuman ini tidak kedengaran kerana mereka memerlukan wang ini untuk membeli undi untuk PRU yang akan diadakan tidak lama lagi.
Kerajaan berhujah bahawa mereka memerlukan darurat untuk mendapatkan bantuan dari hospital swasta padahal majoriti hospital swasta besar dipegang oleh GLC. Untuk kesedaran kita, IJN, Subang Jaya Medical Centre, Pantai, Prince Court, Gleneagles dan KPJ adalah antara hospital milik GLC
Pastikan Kita jaga kita. Covid membawa norma baru. Covid-19 menukar cara kita hidup dan berintergrasi. Adakah Covid-19 mampu menukar norma baru politik Malaysia yang didominasi UMNO?
S. Arutchelvan
Timbalan Pengerusi PSM
Walaupun tiada pengumuman gaji menteri dipotong utk membantu covid19, pemimpin² PAS yg pegang jawatan dlm kerajaan, ahli parlimen dan ADUN tetap potong elaun mereka utk tabung membantu rakyat.
Perkara tersebut PAS dah buat lama dah…
PAS tetap terbaik..
Pas paling haprak… X der pendirian asalkan dpt sauk duit dn jwtan
pas parti yg xde pendirian,
senang sgt termakan dan percaya dgn kata2 org tua yg dah berpuluh tahun ditentangnya,
mudah sgt dikawal dgn disogokkan jawatan,
pas xnampak dan xsedar ke yg baru skrg parti pengkhianat nak guna sentimen Islam dan Melayu??
sebelum nie??
Org tua mana yg pas termakan dan percaya ? Klu Che Det, xpernah pula pas berpakat dgn atok ni. Semenjak PH mmerintah Umno yg paling bnyk main kan sentimen Islam dan Melayu.