KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diminta memastikan proses permohonan penangguhan bayaran balik peminjam yang terjejas akibat banjir dibuat dengan kaedah yang paling mudah dan berkesan.
Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan mengingatkan PTPTN agar tidak mengenakan birokrasi berlebihan dalam melaksanakan bantuan ini.
“Saya harap penangguhan yang diberikan ini akan dapat sedikit sebanyak membantu bebanan yang ditanggung oleh para
peminjam kami,” katanya yang menyambut baik inisiatif Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumumkan Perdana Menteri pada Isnin lalu.
Dalam pengumuman itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penangguhan bayaran balik kepada peminjam PTPTN yang terjejas akibat bencana banjir.
Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid memaklumkan permohonan boleh dibuat secara dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter Cawangan PTPTN.
Untuk memudahkan urusan peminjam PTPTN, mereka diminta mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my/PenangguhanKhasBayaranBalik mulai 20 Januari 2021Â sehingga 31 Mac 2021.
Tiada sebarang dokumen sokongan diperlukan semasa permohonan.
Tambahnya, penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN akibat bencana banjir ini akan diberikan untuk tempoh tiga bulan bermula pada bulan yang sama kelulusan permohonan yang diberikan PTPTN dan dua bulan ke hadapan di antara Januari hingga Mei 2021.
Kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui e-mel yang dikemukakan dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan.
Peminjam juga diingatkan untuk mengemaskini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini bagi memastikan maklumat kelulusan permohonan penangguhan tersebut dapat disampaikan kepada peminjam. – MalaysiaGazette