Home Dunia Akhirnya Jack Ma muncul semula

Akhirnya Jack Ma muncul semula

Wajah Jack Ma semasa bercakap menerusi rakaman video dengan 100 guru-guru di Sanya. foto agensi

BEIJING – Pengasas Alibaba Group, Jack Ma telah muncul buat pertama kali sejak pengawal selia China memberi tekanan ke atas perniagaannya.

Ketiadaan Ma telah mencetuskan pelbagai spekulasi.

Jutawan itu bertemu 100 guru di luar bandar di China melalui video pada hari Rabu, menurut media pemerintah.

Saham Alibaba melonjak 5% di bursa saham Hong Kong susulan berita tersebut.

Tianmu News, yang disokong oleh pemerintah di wilayah Zhejiang, pertama kali melaporkan Ma berucap di hadapan para guru sebagai sebahagian daripada inisiatif yayasan amal miliknya.

Acara tahunan biasanya diadakan di bandar peranginan Sanya, tetapi kali ini diadakan secara dalam talian kerana penularan Covid-19.

“Kami tidak dapat bertemu di Sanya kerana wabak itu.

“Apabila wabak itu berakhir, kita mesti mencari masa untuk membawa setiap orang ke Sanya, dan kemudian kita akan bertemu lagi!,” katanya dalam ucapan itu.

Dalam video tersebut, Ma bercakap terus pada kamera daripada sebuah bilik yang menggunakan dinding marmar berwarna kelabun dan permaidani berjalur.

Bulan lalu, Bank Pusat China menarik keluar eksekutif dari Ant Group dan memerintahkan perubahan besar dalam operasi syarikat itu.

Ma adalah pengasas dan pemegang saham utama Ant Group, yang merupakan penyedia pembayaran terbesar di China.

Sebelum memerintahkan rombakan syarikat itu, pengawal selia telah menarik semula penyenaraian Ant Group di bursa Hong Kong dan Shanghai.

Tawaran Awal Permulaan itu menawarkan saham sebanyak AS$37 bilion – paling besar pada tahun lalu.

Secara berasingan, Pentadbiran Negara China untuk Peraturan Pasaran mengumumkan penyiasatan terhadap Alibaba atas amalan monopoli.

Kecurigaan tentang keberadaan Ma muncul awal bulan ini, ketika dia tidak hadir untuk rakaman Africa’s Business Heroes, sebuah rancangan televisyen yang mana beliau menjadi hakim.

Walaupun Alibaba mengaitkan ketidakhadirannya dengan konflik penjadualan, beberapa laporan media mengatakan Ma tidak dilihat sejak membuat komen kritikal terhadap sistem perbankan China pada satu acara di Shanghai pada bulan Oktober lalu. – MalaysiaGazette.