KUALA LUMPUR – Penularan jangkitan akibat pandemik Covid-19 yang menjejaskan seluruh dunia sejak awal tahun lepas, terbukti telah mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital di Malaysia.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sejak pandemik itu bermula keadaan berubah secara drastik pada setiap hari dan ada masanya berlaku setiap jam.
Menyedari kepentingan itu, kerajaan telah mengenal pasti ekonomi digital sebagai antara bidang pertumbuhan ekonomi utama dalam mencapai komitmen memajukan Malaysia sebagai negara yang mempunyai pertumbuhan mampan.
Selain itu, komitmen kerajaan untuk memastikan pengagihan secara adil dan saksama dalam kalangan penduduk, etnik dan wilayah dapat dibuat.
“Kita akan terus memacu janji kemakmuran bersama untuk semua dengan menumpukan usaha memperkasa rakyat menerusi kemahiran digital, pengupayaan perniagaan yang dijana secara digital serta melonjakkan pelaburan digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1) dan mesyuarat lain berkaitan secara telesidang hari ini.
Selain itu, Muhyiddin turut percaya pandemik Covid-19 telah memberi lonjakan di luar jangka dalam membolehkan kalangan negara-negara anggota ASEAN mempercepatkan usaha digital masing-masing.
Katanya, ASEAN telah mencatat perkembangan dalam persekitaran digital walaupun tahapnya mungkin berbeza bagi setiap kawasan atau negara anggotanya.
“Anda semua sedia maklum, Pelan Tindakan Komuniti ASEAN 2025 (AEC 2025) telah memperakui kepentingan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pemacu utama dalam transformasi ekonomi dan sosial ASEAN.
“Ia juga jelas menyatakan AEC 2025 bermatlamat untuk melonjakkan ASEAN ke arah ekonomi berkeupayaan digital yang terjamin, mampan serta mampu mentransformasi serta seterusnya dapat memanfaatkan lagi ICT bagi mewujudkan ASEAN yang inovatif, inklusif dan saling berintegrasi,” tambah beliau.
Muhyiddin juga mengingatkan kepentingan menitikberatkan langkah-langkah strategik utama ICT yang telah digariskan dengan penekanan terhadap aspek pemusatan dan perpaduan bagi usaha memajukan Komuniti ASEAN dalam bidang keselamatan siber, perlindungan data peribadi, teknologi 5G dan menggalakkan inovasi serta e-dagang. – MalaysiaGazette