Home Nasional Tiada peraturan atau saman kepada individu tidak pakai sarung tangan

Tiada peraturan atau saman kepada individu tidak pakai sarung tangan

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Tidak ada individu yang disaman kerana tidak memakai sarung tangan dalam penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak COVID-19 seperti yang tular di media sosial semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata setakat ini juga tidak ada peraturan yang mewajibkan pemakaian sarung tangan dalam SOP seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) hanya menguatkuasakan peraturan seperti yang digariskan dalam SOP MKN.

“Sekiranya ada sebarang kekeliruan timbul bolehlah merujuk kepada Pegawai Bertugas Pusat Kawalan Malaysia Bukit Aman untuk pengesahan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Acryl Sani berkata pemakaian sarung tangan tidak wajib tetapi PDRM menggalakkan pemakaiannya bagi membolehkan usaha mencegah pandemik itu dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Semalam, tular di laman sosial Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali melaksanakan operasi penguatkuasaan SOP mencegah COVID-19 di daerah berkenaan dengan turut dipaparkan seorang pekerja wanita sebuah premis dikenakan saman ketika operasi itu.

Media hari ini melaporkan pekerja pasar raya di Presint 8, Putrajaya itu disaman bukan kerana tidak memakai sarung tangan tetapi kerana tidak mematuhi SOP lain.- BERNAMA